Zahid Mahu Pilihan Raya Bersih, Aman


GEORGETOWN - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan menjadi yang terbersih dan aman dalam sejarah negara, khususnya berkaitan aspek keselamatan .
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa khususnya polis perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan keamanan sentiasa terjamin sepanjang proses PRU-14 berlangsung.

Selain itu, katanya, polis juga perlu menitikberatkan kepentingan elemen kesilapan sifar sepanjang menjalankan tugas, sekali gus menutup ruang bagi sebarang pertikaian.

"Dalam menghadapi PRU-14, pihak polis perlu bertindak secara profesional mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menjaga kehormatan institusi kita ini. Justeru, saya tidak mahu berlaku sebarang kesilapan.

"Rakyat, tak kisahlah latar belakang politik, bangsa dan agama bergantung kepada anda untuk memastikan keamanan sentiasa terjamin dan ia perlu diterjemahkan melalui tindakan. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kita.

"Dalam isu keselamatan tidak patut wujud percanggahan pendapat dan pihak polis perlu kekal bermotivasi, walaupun berdepan kemungkinan menerima pelbagai tuduhan daripada sesetengah pihak. Rakyat perlu percaya kita untuk menjalankan tugas dengan profesional dan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik, Pengerusi Barisan Nasional negeri, Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyerahkan peruntukan bernilai RM4 juta bagi kerja menaik taraf, masing-masing RM3 juta kepada IPK dan RM1 juta untuk ibu pejabat polis daerah di Pulau Pinang.

Bercakap pada sidang media, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan memfokuskan titik nyala dan lokaliti panas di seluruh negara yang dikenal pasti mempunyai masalah, berpandukan penilaian pada PRU-13 lalu.

"Kali ini, pihak polis perlu memastikan kawasan berkenaan bebas masalah dan saya minta mereka untuk tidak memihak kepada mana-mana parti dengan bertindak secara profesional sepanjang masa," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menasihati semua parti politik supaya menghormati logo dan bahan kempen diguna pakai sepanjang tempoh berkempen pada PRU-14.

"Jika ada parti yang menukarkan lambang kepada satu lambang untuk kegunaan bersama atau parti itu tidak boleh guna lambang parti berkenaan tetapi gunakan lambang yang sama, kita harus menghormatinya.

"Saya tak mahu berlaku kejadian menurun, mengoyak atau merosakkan bendera parti dan kita harap jentera parti melakukan pemantauan, selain pihak polis akan bantu supaya kejadian provokasi seperti ini tidak berlaku," katanya.

Sumber: BH Online