Ziana Failkan Perceraian, Armin Pula Tidak Setuju


SUAMI penyanyi, Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri ‘melarikan diri’ daripada pihak media sebaik sahaja selesai prosiding kes pukul anak di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.

Memetik portal Mstar Online, Armin dikatakan bertindak demikian apabila cuba keluar melalui pintu belakang mahkamah bagi mengelak bertemu dengan pihak media yang menunggunya di pintu utama.

Difahamkan juga, para wartawan turut mengejar Armin sehingga ke tempat letak kereta bagi mendapatkan kenyataan lanjut berhubung kemelut panas rumah tangganya dengan Ziana.

Bagaimanapun, usaha itu ‘hampa’ dan bekas pramugara kanan Malaysian Airlines itu hanya menunjukkan tanda ‘thumb down’ sambil tersenyum kepada pihak media.

Dalam perkembangan lain, difahamkan rumah tangga Armin dan Ziana didakwa sedang bergelora apabila penyanyi wanita berkenaan memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 3 April lalu.

Pun begitu, sumber berkata Armin tidak bersetuju untuk melafazkan cerai sebaliknya meminta kes berkenaan dibawa kepada pihak jawatankuasa pendamai.

Sementara itu memetik sumber lagi, mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh baharu penyerahan dokumen berhubung kes berkenaan. Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Ia selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi yang mengatakan pihaknya masih dalam proses menyiapkan dokumen berkaitan kes itu. –Kedahnews.com