10,000 Penduduk Dari Tiga Buah Kampung Di Sik Nikmati Manfaat Bekalan Air Alternatif


SIK - Lebih 10,000 penduduk dari 13 buah kampung di daerah Sik mendapat manfaat daripada bekalan air alternatif di bawah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), sejak projek itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Belantek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, berkata projek itu merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membantu penduduk yang berdepan dengan gangguan bekalan air terawat Syarikat Air Darul Aman (Sada), akibat masalah tekanan air yang rendah.

"Kementerian membekalkan paip yang berkualiti untuk pelaksanaan projek ini, sebanyak 13 lokasi yang terlibat yang mana ia membabitkan kos lebih RM6 juta," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Charuk Puyuh dekat sini, semalam.

Menurutnya, bekalan air alternatif yang menggunakan sumber air bersih dari bukit itu secara tidak langsung membolehkan penduduk menikmati penjimatan bayaran bil Sada.

"Banyak lagi kawasan kampung di daerah Sik yang didapati mempunyai keperluan yang sama antaranya di Kampung Telaga Batu, Kampung Gulau dan Kampung Lubuk Tualang.

"Projek bekalan air alternatif ini akan diteruskan jika rakyat memberi mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya. - BERNAMA