18 Inisiatif, Hadiah Cukup Istimewa Untuk Rakyat Langkawi - Mohd Rawi


LANGKAWI - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah, Dato' Mohd Rawi Abdul Hamid menyifatkan 18 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak merupakan hadiah yang cukup bermakna bagi rakyat Langkawi.

Kata beliau, hadiah berkenaan menjelaskan kesungguhan Perdana Menteri untuk membangunkan Langkawi dengan penglibatan secara langsung dan tidak langsung rakyat di pulau Lagenda ini, khususnya membangunkan tahap sosio-ekonomi masyarakat.

"Pada saya, ianya merupakan hadiah yang cukup istimewa kepada rakyat Langkawi, Dato' Seri Najib jelas bersungguh-sungguh mahu majukan Langkawi dan membantu rakyat di sini.

"Projek RM1.3 bilion yang diumum PM sebelum ini lebih kepada projek infrastruktur yang beri manfaat secara tidak langsung kepada rakyat Langkawi secara menyeluruh.

"Namun 18 inisiatif yang diumum PM semalam adalah lebih khusus memberi manfaat secara langsung kepada hampir setiap individu di pulau pelancongan ini secara 'micro solution'," katanya kepada Kedahnews.com di sini, petang tadi.


Mohd Rawi berkata, antara inisiatif yang dibentang Mohd Najib seperti pembinaan sebuah sirkit motocross di Langkawi adalah untuk memberi ruang kepada golongan muda untuk mencebur diri dalam sukan permotoran dan penganjuran bertaraf antarabangsa.

Selain itu, ruang niaga di Pantai Chenang juga bakal membuka ruang kepada anak-anak tempatan Langkawi untuk berniaga di sebuah hub perniagaan pelancongan yang berkonsepkan pusat perniagaan pelancongan yang terkenal di dunia.

"Ia akan memberi ruang kepada anak-anak Langkawi untuk berkongsi limpahan ekonomi daripada sektor pelancongan di sini.

"Pinjaman daripada SME Bank, Teraju dan sebagainya memudahkan lagi rakyat menikmati perkongsian ekonomi dalam industri pelancongan Langkawi," katanya lagi.

Selain itu, Mohd Rawi turut melihat inisiatif untuk memperkasakan Akademi Pelancongan Langkawi akan melatih anak-anak tempatan untuk membangunkan lagi industri pelancongan di pulau lagenda ini pada masa akan datang.

"Tourisme TV misalnya merupakan satu konsep penyiaran pelancongan yang hebat dan mampu mempromosi Langkawi di mata dunia dengan lebih berkesan.

"Saya yakin ia akan memberi impak yang lebih besar kepada industri pelancongan Langkawi," ujar beliau lagi.


Bersyukur kepada Allah, Mohd Rawi amat berterima kasih kepada Mohd Najib yang begitu komited mengambil berat tentang masa depan Langkawi, khususnya rakyat di pulau pelancongan ini dengan merancang agenda yang begitu holistik.

Jelas beliau, Mohd Najib dalam satu kenyataannya di sebuah masjid di pulau ini menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur dan ekonomi perlu sejajar dengan pembangunan rohani masyarakat Langkawi agar seimbang perkembangannya secara menyeluruh.

Justeru itu, beliau yakin bahawa rakyat Langkawi dapat menilai semolek-moleknya tentang inisiatif yang dibentang Perdana Menteri bagi menjamin masa depan pulau lagenda itu ke arah yang lebih baik dengan memilih BN pada 9 Mei ini.


Mohd Rawi diminta mengulas mengenai 18 inisiatif berkenaan sejurus memeriahkan program santai bersama Dato' Johari Baharom di pengkalan nelayan Tanjung Rhu, di sini, petang tadi. - Kedahnews.com