200 Ahli PAS Besut Sertai UMNO


JERTIH - Dalam tempoh genting menjelang hari mengundi Rabu ini, PAS Besut kehilangan 200 ahlinya yang bertindak keluar parti itu untuk menyertai UMNO, malam Ahad.

Pengisytiharan keluar parti secara beramai-ramai itu diketuai Mohamad Syakir Mustafa, 25, pada Program Kembali Ke UMNO di Dataran Pasir Akar, Hulu Besut, dekat sini.

Mohamad Syakir dari Kampung Gong Terap, Alur Lintah, ketika berucap pada majlis itu mengaku mereka amat tertarik dengan gaya perjuangan UMNO yang sentiasa mendekati rakyat berbanding pembangkang.

Sebagai orang muda, katanya, beliau juga melihat perjuangan UMNO begitu jelas dengan hala tuju tersusun untuk membela nasib masyarakat Melayu dan menegakkan agama Islam.

"Penyertaan kami (ke dalam UMNO) pada malam ini tidak dipaksa mana-mana pihak, sebaliknya atas dasar kesedaran dan keinsafan sendiri," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Besut.

Selain itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih; Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad (calon DUN Hulu Besut); dan kira-kira 800 penyokong parti.

Nawi ketika ditemui pula berkata, kejayaan mengumpul ahli PAS menyertai UMNO itu adalah hasil usaha sejak dua bulan lalu melalui gerakan mesra mendekati penyokong pembangkang, termasuk dari rumah ke rumah.

Sumber: BH Online