80 Peratus Muka Baharu EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kedah bakal menyaksikan 80 peratus muka baharu bagi barisan EXCO Kedah, yang akan mengangkat sumpah pagi ini.

Menggunakan komposisi 4:3:2:1 dengan jawatan Speaker daripada PKR dan timbalannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ia memberi nafas baharu kepada pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sumber berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, PKR memenangi lapan kerusi, manakala tiga parti lain yang bertanding di bawah logo PKR iaitu PPBM menang lima kerusi; Parti Amanah Negara (PAN) (3) dan DAP (2).

Daripada 10 calon, beliau berkata, empat daripadanya PKR, PAN (3), PPBM (2) dan DAP pula satu.

"Lapan muka baharu terbabit ialah ADUN Bukit Kayu Hitam dari PPBM, Halimaton Shaadiah Saad; manakala dari PAN, Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan) serta Dr Salmee Said (Kota Siputeh) dan wakil dari DAP, Tan Kok Yew (Derga).

"Wakil PKR pula, yang turut mendapat perkenan Istana Anak Bukit ialah Zamri Yusof (Suka Menanti), Azman Nasrudin (Lunas), Simon ooi Tze Min (Bakar Arang) dan Bukit Selambau, R Summugam.

"Bagi muka lama, ia hanya membabitkan dua orang iaitu ADUN Anak Bukit, yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amirudin Hamzah dan Datuk Dr Ismail Salleh (Pengkalan Kundor).

"Jawatan Speaker pula, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah dari PKR, Datuk Ahmad Kassim, manakala timbalannya, ADUN Ayer Hangat, Johari Bulat dari PPBM," katanya yang dihubungi NSTP, semalam.

Ketika ditanya mengenai posisi EXCO yang sudah disusun, beliau berkata, berlaku sedikit perubahan apabila terdapat nama yang dicalonkan menarik diri kerana mahu menjadi ADUN sepenuh masa.

"ADUN yang dimaksudkan adalah ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan tempat beliau digantikan dengan Dr Salmee.

"Jangkaan awal, Amirudin akan memegang portfolio kewangan, agama dan pelaburan; Halimaton (wanita dan kebajikan masyarakat), manakala Dr Ismail (kesihatan, penerangan), Mohd Asmirul (sukan, belia).

"Buat masa sekarang, kita tidak menggunapakai portfolio yang disusun kerajaan terdahulu kerana Mukhriz mahu memastikan semua EXCO yang dilantik mempunyai kelayakan jawatan yang akan dipegang," katanya.

Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, menubuhkan kerajaan baharu di negeri ini selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Pada pilihan raya kali ini, PKR meraih lapan daripada 18 kerusi DUN dimenangi PH, manakala PPBM (lima), PAN (tiga) dan DAP (dua).

Keputusan PRU-14 di Kedah turut menyaksikan PAS memenangi 15 kerusi DUN dan Barisan Nasional (BN) (tiga).

Susulan kejayaan PKR, Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, dilantik menjadi Menteri Besar Kedah Ke-13.

Ini kali kedua Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah, dengan kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) selepas parti itu merampas penguasaan negeri daripada PAS Kedah melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

Pelantikan Mukhriz itu sekali gus menutup spekulasi mengenai calon Menteri Besar Kedah, selain status PH yang diuar-uar berisiko dicabar sekiranya PAS dan BN bergabung di Kedah.

Sumber: BH Online