KUALA LUMPUR - Ahli UMNO dan kepemimpinan tertinggi perlu kembali bersatu-padu menyokong kelangsungan politik parti itu supaya terus kekal relevan.
Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO adalah organisasi tunggal yang memiliki 54 ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan segala rundingan dan perbincangan akan dilakukan secara berkumpulan sebelum sebarang keputusan diambil.
Katanya, beliau dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, tidak akan membenarkan ahli Parlimen diracik satu-persatu malah mereka sudah memberikan kepercayaan serta mandat kepada kami untuk mengembalikan keyakinan terhadap kepimpinan parti di semua peringkat.
"Walaupun situasi sekarang umpama sebuah rumah agam yang hampir terbakar hangus, namun kita adalah tiang seri yang kukuh serta utuh.
"Kita perlu memperbaiki semula kerosakan yang ada kerana perjalanan politik ini masih jauh, tetapi ia bukanlah fasa terakhir," katanya dalam sidang media khas UMNO-Online, di sini, semalam.
Beliau berkata, segala nolstalgia politik harus dilupakan malah sikap dan kualiti kepimpinan di semua peringkat perlu diubah secara drastik demi rakyat Malaysia.
"Berdasarkan senario hari ini, ternyata kelangsungan bangsa kita berada di tahap kritikal dan pentadibiran UMNO perlu disusun semula bagi membolehkan parti kekal relevan sebagai sebuah organisasi politik yang boleh memayungi orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
"Kita perlu muhasabah dan untuk memperbaiki kelemahan malah proses pemulihan perlu berlaku daripada peringkat atasan sehingga ke bawah merangkumi pusat, negeri, bahagian dan cawangan.
"Kita kena jadi pembangkang yang konstruktif dan hapuskan liabiliti politik, tanggung kerugian yang sedang kita lunaskan pembayarannya percaya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah," katanya.
Sumber: BH Online