Anwar Nasihat PH Jangan Berdendam


KERAJAAN negeri Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan tidak gopoh mengambil tindakan terhadap keputusan dibuat kerajaan terdahulu khususnya mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tergopoh-gapah membuat keputusan sehingga membelakangkan kepentingan rakyat tidak menggambarkan tadbir urus kerajaan yang baik.

“Jangan ambil tindakan kerana dendam atau iri hati tetapi keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan prinsip good governance dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan anggota EXCO Kerajaan Negeri Perak di Ipoh semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Anwar berkata, tiada masalah untuk kerajaan negeri PH mengekalkan GLC yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri terdahulu yang ditadbir dengan baik dan cekap.

Katanya, tindakan boleh diambil jika GLC yang ditubuhkan itu adalah suatu bentuk pembaziran, pertindihan peranan dengan agensi atau jabatan sedia ada serta pembayaran kadar elaun terlalu tinggi terhadap tokoh politik yang dilantik dalam GLC berkenaan.

Beliau berkata, tindakan memberi elaun sehingga ratusan ribu ringgit sebulan kepada lantikan politik yang memegang jawatan dalam GLC tidak menggambarkan tadbir urus kerajaan yang baik dan harus dihentikan.

Sementara itu, Anwar menggesa kerajaan negeri PH segera mencontohi tindakan Kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memotong 10 peratus gaji anggota Kabinet, dengan mengambil tindakan sama terhadap anggota EXCO kerajaan negeri.

Mengenai pertemuan dengan anggota EXCO Perak itu, Anwar mengingatkan mereka mengenai keperluan memenuhi janji kepada rakyat serta memastikan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau rasuah ketika mentadbir negeri.

Katanya, sebelum itu beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di ibu negara dan gembira dengan perkenan serta kesediaan baginda untuk mengadakan hubungan erat dengan kerajaan negeri PH.

Sumber: MyMetro