Apa Lagi Mahathir Nak Tangiskan!


BANYAK elemen sarkastik yang backfired Mahathir secara peribadi, sebaik saja filem pendek Harapan/Kasihanilah Atuk diviralkan di media sosial sejak 28 Mei lalu.

Mahathir dianggap hipokrit dan mencari jalan mudah untuk mendapat simpati pengundi.

Mana tidaknya. Hari ini sebagai diktator PBBM, Mahathir bekerjasama dengan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ibrahim. Malah, Mahathir juga bekerjasama dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, anak Wan Azizah.

Orang tidak akan lupa sejarah permusuhan Mahathir dan Anwar Ibrahim. Tidak ada rakyat Malaysia yang waras akan dapat melupakan kezaliman Mahathir terhadap Anwar Ibrahim 20 tahun lalu.


Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri 1993 hingga 1998, setelah sekian lama menjadi sekutu Mahathir sejak 1993, dipecat dan ditahan pada 1998.

Anwar, suami Wan Azizah dan bapa Nurul Izzah, bukan sahaja dipecat sebagai TPM atas tuduhan khianat, tetapi menjadi mangsa pembantaian ketika ditahan di lokap.

Mahathir ketika itu Perdana Menteri. Mahathir ketika itu, turut memecat Anwar sebagai timbalan dalam parti. Anwar ditendang keluar kabinet dan disepak terajang lalu dihalau berambus dari parti.

Mahathir adalah orang paling berkuasa ketika itu.

Sekarang, melalui video filem pendeknya, Mahathir cuba berlakon dengan wajah yang sedih. Mahathir cuba mendapatkan semula kuasa Perdana Menteri melalui simpati.

Rujuk foto-foto kenangan ini. Terutama foto biji kata Anwar Ibrahim yang lebam ketika ditahan dibawah arahan Mahathir.

Apakah waktu itu Mahathir bersedih?


Apakah Mahathir memikirkan nasib anak-anak Anwar, termasuk Nurul Izzah yang ketika itu berusia 16 tahun?

Selain Nurul Izzah, Anwar yang lebam teruk mukanya, turut memiliki lima lagi anak-anak yang masih remaja dan kanak-kanak.

Anak-anaknya, Nurul Nuha 14, Ehsan Anwar 13, Nurul Ilham 11, Nurul Iman 8, Nurul Hana 6, pasti tidak akan melupakan detik-detik maha kejam itu. Bagaimana Mahathir menganiaya bapa mereka.

Kini, demi politik, PKR yang ditubuhkan Anwar Ibrahim dengan lambang parti berasaskan simbol mata lebam, membenarkan Mahathir menjadi calon parti itu.

Apa kejadahnya semua ini?

Menangislah Mahathir. Menangislah puas-puas. Malah, Mahathir selayaknya menghasilkan klip filem pendek bertaraf Atuk Nak Bertaubat! -Kedahnews.com