Artis Kpop - BTS Pakai Baju Melayu Kiriman Peminat Malaysia


KESANGGUPAN peminat dari Malaysia yang membelanjakan ratusan ringgit untuk menghadiahkan baju Melayu kepada kumpulan K-pop, BTS membuahkan hasil apabila baju berkenaan disarungkan oleh salah seorang anggotanya.

Sebagai bukti, Syahirah Adila Zainudin, 18, menerusi laman Twitternya memuat naik gambar Kim Tae Hyung atau V sedang memakai baju Melayu yang dihadiahkannya dalam satu sesi rehearsal di Los Angeles, baru-baru ini.

"Saya hantar baju Melayu tu pada 14 Februari lalu menerusi kiriman pos. Selain baju tu, lima lagi rakan saya turut mengirimkan kurta, surat dan pakaian lain sebagai hadiah.

"Baju Melayu tu berharga RM120 dan saya kongsi bersama kawan saya, Siti Sofheia Qistina. Campur dengan hadiah lain, beratnya hampir lima kilogram, dengan kos penghantaran hampir RM400," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Apa yang lebih manis, usaha gigih Syahirah Adila dan Siti Sofheia Qistina turut mendapat perhatian pengeluar baju Melayu berkenaan.

Menurut Syahirah Adila, dia dihubungi pihak Jakel yang berterima kasih kepada mereka kerana berjaya mengangkat martabat pakaian kebangsaan itu sehingga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

"Selepas tweet berkenaan tular, pihak Jakel hubungi dan beritahu mereka nak bagi sedikit penghargaan kepada kami berdua.

"Malah, ada juga peminat BTS dari luar negara yang mula bertanya mengenai baju Melayu tu. Saya bangga mereka kenal pakaian tradisional kita," kata Syahirah Adila lagi.


Tweet berkenaan mendapat perhatian ramai sehingga diulang kicau hampir 10 ribu pengguna Twitter.

Selain pujian daripada rakan peminat BTS yang lain, Syahirah Adila juga tidak terlepas daripada menerima kecaman netizen yang kurang senang dengan usaha gigihnya itu.

"Ada juga yang kutuk. Tapi saya tak layan dan sekat sahaja. Ramai yang berfikiran sempit, padahal K-pop sama sahaja dengan genre muzik lain seperti hip hop, R&B dan sebagainya.

"Tapi Alhamdulillah ramai juga yang tak minat K-pop berterima kasih sebab bawa pakaian kebangsaan kita di mata dunia," kata Syahirah Adila.

Selain Tae Hyung atau V, BTS turut dianggotai oleh Jungkook, Jimin, Jin Suga, RM dan J-Hope.

Untuk rekod, BTS merupakan antara kumpulan K-pop paling popular di dunia pada masa ini.

Pada tahun lalu, mereka berjaya mengenepikan nama-nama besar seperti Justin Bieber, Selena Gomez, Shawn Mendes dan Ariana Grande untuk merebut anugerah Top Social Artist di Anugerah Muzik Billboard.

Menerusi acara sama yang berlangsung pada awal hari ini, mereka sekali lagi memenangi anugerah berkenaan.

Populariti BTS juga tidak dapat disangkal lagi apabila mereka turut diminati artis Hollywood seperti The Chainsmokers, Camila Cabello, Charlie Puth, Ansel Elgort dan ramai lagi.

Sumber:Mstar Online