ATM Rampas 240 Kg Ketum Dekat Padang Terap


ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) merampas 240 kilogram daun ketum bernilai RM21,600 dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail, berkata rampasan itu dilakukan sepasukan anggota selepas membuat rondaan berhampiran Pos Sahara dekat Padang Terap pada jam 11.30 pagi.

Beliau berkata daun ketum itu ditemui di dalam sembilan guni putih di kawasan semak dan pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berhampiran tidak menemui orang awam.

"Pemeriksaan pada guni itu menemui 1,250 ikat daun ketum di dalam guni tersebut yang kemudian kita rampas untuk tindakan selanjutnya...kita percaya daun itu ditinggalkan sementara sebelum diseludup keluar pihak lain ke negara jiran melalui pagar sempadan," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Aziz berkata pasukan berkenaan diminta agar sentiasa berwaspada dan meningkatkan kawalan walaupun di bulan Ramadan ini kerana dipercayai aktiviti penyeludupan kemungkinan akan meningkat ekoran permintaan daun ketum yang tinggi di negara jiran.

Beliau berkata daun ketum yang dirampas dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.- BERNAMA