CANBERRA - Australia menyatakan harapan Penerbangan 370 milik Malaysia Airlines akan ditemui satu hari nanti ketika pencarian di dasar laut Lautan Hindi, lokasi pesawat itu dipercayai hilang dijadualkan berakhir semalam.
Minggu lalu, Malaysia berkata usaha mencari oleh syarikat Ocean Infinity beribu pejabat di Texas berakhir semalam selepas dua lanjutan tempoh had asal selama 90 hari, menurut laporan Associated Press.
Menteri Pengangkutan Australia, Michael McCormack, berkata pencarian selama empat tahun itu adalah yang terbesar dalam sejarah penerbangan dan menguji had teknologi dan kemampuan pakar dan tenaga manusia di laut.
"Takziah kepada keluarga dan orang tersayang 239 mangsa MH370.
"Kami berharap satu hari nanti pesawat itu akan dapat dikesan," kata pejabat McCormack dalam satu kenyataan.
Malaysia menandatangani perjanjian menyatakan tiada bayaran tanpa hasil dikehendaki dengan Ocean Infinity pada Januari lalu untuk menyambung pencarian pesawat itu, setahun selepas pencarian rasmi di selatan Lautan Hindi oleh Australia, Malaysia dan China dihentikan.
Tiada usaha pencarian lagi dijadualkan.
Australia, Malaysia dan China bersetuju pada 2016, bahawa pencarian rasmi cuma akan disambung jika ketiga-tiga negara mempunyai bukti kukuh yang mengenal pasti lokasi tepat bangkai pesawat itu.
Minggu lalu, Malaysia berkata kapal Ocean Infinity, Seabed Contractor, yang mengendalikan dron sonar bawah laut melakukan pencarian di kawasan lebih 96,000 kilometer persegi lautan itu.
Kawasan pencarian disifatkan pakar sebagai lokasi paling kemungkinan nahas berlaku cuma 25,000 kilometer persegi, lebih kurang saiz negeri Vermont di Amerika Syarikat.
Pesawat Boeing 777 hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pencarian asal memberi tumpuan di Laut China Selatan sebelum analisis mendedahkan pesawat itu membuat pusingan tidak dijangka ke barat dan kemudian ke selatan. - Agensi