Azeez: Daim Bukan Nujum Yang Boleh Ramal Keputusan PRU-14


Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bukan `pak nujum’ yang boleh meramalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebaliknya hanya Allah yang akan menentukannya.

Penyandang kerusi Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, sebaliknya apa yang penting ialah penilaian rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan selama ini oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di situ selama lima tahun.

“Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang memilih calon baru setiap lima tahun. Apabila mereka gagal memberikan perkhidmatan kepada rakyat, mereka akan melarikan diri dan pindah ke tempat lain.

“Hanya dalam masa dua minggu ini (kempen) mereka berada di sini, kemudian mereka akan beredar apabila PRU dah habis. Kalau kita tengok parti mereka sendiri berpecah belah dan pemimpin setempat tidak bersatu padu,” kata Azeez ketika ditemui di sini, malam tadi.

Beliau mengulas mengenai Daim Zainuddin yang menjangkakan BN akan kehilangan cengkaman kuasanya ke atas Kedah dan Perak, pada 9 Mei ini.

Dalam satu temu bual dengan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Daim berkata ini akan berlaku jika Pakatan Harapan memenuhi syarat-syarat tertentu, seperti mengemukakan calon menteri besar bagi kedua-dua negeri itu.

Daim juga menjangkakan peluang BN adalah “50-50″ di Johor dan Sabah.

Menurut Azeez, penduduk di Baling memerlukan pemimpin yang memberikan fokus sepenuhnya kepada pembangunan di kawasan berkenaan.

“Pakatan Harapan selepas lima tahun mereka akan tukar calon dan pembangunan tidak akan naik di kawasan ini. Lagipun Baling adalah kawasan luar bandar, kalau tiada pemimpin yang fokus, maka Baling akan ketinggalan,” katanya.

Sumber: Suaratv