Balas Komen Negatif? Tidak Bagi Janna Nick


PELAKON dan pengacara Janna Nick lebih selesa untuk tidak menjawab sebarang kritikan negatif yang dilemparkan terhadapnya oleh netizen di laman sosial.

Janna berkata, dia senang menjawab sebarang isu berkaitan dengan dirinya kepada pihak media daripada memanjangkan sesuatu isu untuk bertelagah dengan netizen.

"Saya mudah, jika tidak suka tentang apa perkara negatif dan fitnah dilemparkan saya padam dan sekat akaun tersebut kerana lebih baik tidak mengambil tahu atau membalas komen tersebut.

"Pada saya jika ada sesuatu isu, saya lebih senang menjawab kepada wartawan dan bukannya berbalas komen di Instagram," katanya.

Janna ditemui di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.

Pelakon itu turut membawa pulang trofi Aktres Pilihan menerusi lakonannya dalam drama berjudul Biar Aku Jadi Penunggu.

Dalam pada itu, Janna berkata, dia enggan menjawab tuduhan atau kritikan di media sosial kerana merasakan tidak perlu mempertahankan diri kerana ia mampu mencetuskan perbalahan.

Malah kata Janna, dia juga tidak tahu sama ada pemilik akaun tersebut benar-benar wujud atau pun berselindung di sebalik nama samaran yang tidak diketahui niat sebenar mereka.

"Saya pilih untuk tak memanjangkan sesuatu perkara dengan berbalas komen dengan netizen kerana kita sendiri tidak tahu kewujudan mereka ini atau pun waras ke tidak.

"Buat apa hendak lawan dalam alam maya yang tak nyata? Namun apa yang baik saya ambil sebagai panduan dan berunsurkan negatif sehingga menghentam dan menjatuhkan, saya padam dan sekat akaun mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya di DFKL 2018, Janna berkata, dia memang tidak menyangka memenangi trofi sama buat kali kedua kerana menyangkakan ia milik Farah Nabilah.

Ini kerana kata Janna, dia merasakan drama lakonan Farah menerusi Titian Cinta lebih memberi impak dan mendapat rating lebih tinggi namun menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki dan usaha peminat mengundinya.

"Rasa terkejut juga mula-mula sebab ingat Farah Nabilah yang menang kerana Titian Cinta sangat popular.

"Tetapi ini semua kerja keras peminat yang tidak jemu-jemu mengundi saya sehingga mendapat trofi ini buat kali kedua," katanya yang kali pertama memenangi kategori itu pada tahun 2016.

Tambah Janna, kemenangan itu sebenarnya manis buat dirinya kerana menerusi DFKL dia memenangi anugerah pertamanya sejak bergelar artis dan berhasrat untuk mempertahankan kemenangan itu pada tahun hadapan.

"Hendak menang itu mudah tetapi untuk pertahankan kemenangan itu yang sukar.

"Insya-Allah jika ada rezeki memang saya nak pertahankan kemenangan menerusi kategori itu dan untuk itu saya perlu bekerja lebih kuat lagi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Janna berkata, kedatangan Ramadan tahun itu dia akan sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Hingga Ke Jannah bergandingan dengan Fahrin Ahmad.

Sumber: Mstar Online