BDB Lancar Menu Bufet ‘Citarasa Kampungku’ Sempena Ramadan


KUBANG PASU – Sempena menyambut kedatangan Ramadan, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Leisures Sdn. Bhd. melancarkan menu bufet ‘Citarasa Kampungku’ kepada orang ramai yang berbuka puasa di Classic Cafe, Darulaman Golf & Country (DGCC), Jitra di sini, Isnin.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat BDB, Sajahan Abdul Waheed berkata, konsep yang diperkenalkan tahun ini dijang­ka lebih menepati citarasa orang ramai selain menawarkan kelainan dari segi menu berbanding konsep ‘fusion’ yang disediakan tahun lalu.

“Bufet Ramadan yang di­bawakan kepada pelanggan kali ini menjurus kepada masakan tradisional Melayu dengan 50 juadah disajikan setiap hari termasuk menu pilihan ramai pada tahun sebelum ini.

“Tahun ini kita menyediakan menu kambing panggang percik berselang-seli dengan rusa panggang, tujuh jenis nasi seperti nasi briyani gam, nasi minyak, nasi bukhari, mi kari, laksa siam dan asam laksa Pulau Pinang termasuk steamboat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran bufet Ramadan di Classic Cafe, DGCC di sini.

Menurutnya, di samping menikmati juadah istimewa yang disediakan chef berpe­ngalaman, orang ramai juga akan dihiburkan dengan persembahan gamelan khas yang disediakan pihak DGCC.

“Persembahan gamelan turut diadakan sebagai usaha mewujudkan suasana bertepatan dengan konsep suasana kampung yang diperkenalkan pada tahun ini,” katanya.

Sajahan menambah, sebagai memberi kemudahan ke­pada orang ramai yang ingin berbuka puasa di restoran itu, BDB Leisures turut menawarkan baucar tempahan awal dengan harga RM43.50 bagi seorang pe­langgan.

“Baucar berkenaan boleh diperoleh sehingga 16 Mei ini dan lebih menarik, satu baucar percuma akan diberikan kepada pelanggan yang membeli 10 baucar terawal untuk berbuka puasa di Classic Cafe,” katanya.

Beliau menambah, di sam­ping itu, tawaran yang cukup istimewa diberikan kepada pe­langgan yang datang secara walk-in iaitu pada harga RM49.50 bagi pelanggan dewasa dan RM35.50 bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menikmati juadah yang disediakan boleh membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bufet Ramadan dengan menghubungi bahagian jualan cafe di talian 04-9174686.

Sumber: Utusan Online