Bekas Menteri Kabinet Ziarah, Kenalan Ziarah Najib


Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman antara individu yang hadir di kediaman Datuk Seri  Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.

Mahdzir yang merupakan Ahli Parlimen Padang Terap tiba pada pukul 10.40 pagi dan kenderaannya diletakkan berhampiran jalan masuk yang dikawal anggota polis.

Sejurus selepas Mahdzir masuk, sebuah kenderaan Range Rover dipercayai milik Azalina keluar dari kediaman bekas Perdana Menteri itu,  lapor Utusan dan wartawan yang berkumpul berdekatan kediaman Najib.

Sementara itu, mereka yang melawat bekas Perdana Menteri ke- 6 itu berkata Najib   sihat dan tenang walaupun kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini tidak putus didatangi  pihak polis sejak kelmarin.

Pengerusi Pergerakan Selangor, Nazilah Idris seperti mana yang dilaporkan Utusan berkata, dalam pertemuan selama 20 minit tersebut, bekas Perdana Menteri itu dilihat dalam keadaan baik dan tabah menghadapi dugaan.

“Alhamdulillah, beliau tabah dan kuat menghadapi dugaan walaupun tidak putus disoal siasat pihak polis.

“Bagaimanapun, mengapa bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara dilayan sebegini seolah-olah seperti penjenayah besar? Jadi saya merayu pada kerajaan sekarang untuk berlaku adil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Nazilah hadir di kediaman Najib kira-kira pukul 11.40 pagi dan kelihatan meninggalkan rumah kelurga bekas Presiden UMNO itu selepas 20 minit kemudian.

Kediaman bekas Presiden UMNO itu digelidah selepas beliau pulang daripada menunailikan solat  terawih di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur kelmarin.

Sumber: Utusan