BEKAS pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok tidak menyangka cubaan menanam dua anak pokok strawberi setahun lalu membolehkannya mampu menjana pendapatan lumayan.
Profesor Aziz Romli, 59, berkata bermula dengan dua pokok, beliau kini memiliki lebih 1,000 pokok strawberi dan menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan dari seluruh negara.
Menurutnya, minatnya untuk menanam pokok stawberi tercetus apabila melihat pokok milik rakan dan cuba menanamnya sendiri bermula dengan jenis Japan Sweet Charlie.
“Penanaman dan penjagaan tidak sesukar dijangka kerana dengan sistem yang betul, pokok ini mudah membiak dan dijaga.
“Tambahan pula, strawberi tanah rendah lebih lasak dan buahnya pula lebih besar dan manis berbanding tanah tinggi seperti Cameron Highland,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, Kedah.
Katanya, beliau kini memiliki lebih 1,000 pokok strawberi dari lima jenis seperti Royal 80, Albyon, JB Sweet, dan Snow Rabbit, serta Japan Sweet Charlie.
Beliau yang pernah bertugas selama 20 tahun di universiti awam berkenaan membuka peluang kepada orang ramai terutama penduduk kampung dan suri rumah untuk berkongsi kemahiran menanam buah itu.
“Ternyata, projek strawberi ini mampu menjana pendapatan sampingan kerana permintaannya amat tinggi dari seluruh negara.
“Pelanggan tetap saya ada yang datang dari Sabah dan Sarawak dan menjanjikan keuntungan yang lumayan,” katanya yang cuma belajar mengenai penanaman pokok strawberi dengan rakan dan pembacaan.
Selain strawberi, Aziz yang bersara pada Februari lalu turut mengusahakan tanaman pokok tin dan kini memiliki 240 jenis pokok tin dari seluruh dunia.
Sumber:MyMetro