KUALA LUMPUR – Semua pihak diharap bersabar dan memberikan ruang kepada UMNO membentuk kepemimpinan baharu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau bersetuju dengan perkara itu, namun ia perlu dilakukan secara tertib supaya maruah dan prinsip yang dijunjung parti dapat dikembalikan.
“Saya menyeru dan merayu kepada semua pihak untuk bersabar dan memberikan ruang supaya perkara ini dapat mengizinkan kita melaksanakannya dengan segera.
“Percayalah, saya akan lakukan yang terbaik demi parti dan negara yang tercinta. Semoga Allah SWT memelihara UMNO,” katanya menerusi entri di akaun Twitter rasminya, @HishammuddinH2O, semalam.
Pada masa sama, beliau meminta ahli UMNO supaya tidak emosi dalam sebarang tindakan.
“Kita lakukan ini demi masa hadapan dan kesatuan kita. Perkara ini telah pun saya sampaikan kepada setiap pucuk pimpinan, termasuk sayap dalam parti,” katanya.
Semalam, beberapa sayap, termasuk Pemuda UMNO Johor menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berundur dan memberi ruang kepada muka baharu yang mampu melakukan perubahan kepada parti.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim, dipetik berkata, sayap pemuda itu turut menggesa supaya Najib memberikan kerjasama dalam proses transisi tampuk kepemimpinan UMNO.
Katanya, UMNO tidak boleh lagi terus berada dalam keadaan ‘in denial’ dan rakyat sudah bersuara, maka UMNO juga perlu bersuara.
Sumber: BH Online