Berita Gembira Buat 2 Pemain Atur Perlawanan


KUALA LUMPUR - Dua pemain profesional yang bersalah mengatur perlawanan, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang menerima khabar gembira apabila mereka tidak perlu membayar denda yang dikenakan bagi mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

BWF sebelum ini mengenakan hukuman gantung selama 20 tahun serta denda AS$25,000 (RM98,763) kepada Zulfadli manakala Chun Seang digantung 15 tahun dan denda AS$15,000 (RM59,258). 

Isnin lalu, Zulfadli menghantar surat rasmi kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memohon pertolongan badan induk itu membantunya melunaskan bayaran denda berkenaan sebelum dia boleh mengemukakan rayuan kepada BWF. 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata selepas semakan dibuat dengan BWF, badan induk badminton dunia itu memaklumkan Zulfadli atau Chun Seang boleh terus mengemukakan rayuan tanpa perlu membayar denda berkenaan. 

"BWF memaklumkan kedua-dua pemain boleh terus mengemukakan rayuan tanpa membayar denda. Denda hanya perlu dibayar selepas proses rayuan selesai. 

"Jadi, Zulfadli atau Chun Seang bersama peguam mereka boleh buat apa yang sepatutnya untuk mengemukakan rayuan. Saya sudah pun menandatangani surat hari ini bagi memaklumkan perkara ini kepada Zulfadli," kata Norza ketika dihubungi, semalam. 

Mengulas lanjut, Norza memaklumkan BAM turut menawarkan khidmat peguam bagi menjadi pemerhati sepanjang sesi pendengaran berlangsung sepanjang proses rayuan nanti. 

"BAM tidak menawarkan khidmat peguam bagi mewakili Zulfadli, sebaliknya kita akan hantar seorang bagi mengikuti sesi pendengaran. Ia bagi memastikan sesi pendengaran berlangsung dengan adil. Dalam hal ini, Zulfadli perlu melantik peguamnya sendiri. 

"Zulfadli juga mendakwa dia tidak mendapat sesi pendengaran yang adil sebelum ini, jadi kami memberikan bantuan ini bagi memastikan dia mendapat keadilan yang sewajarnya," kata Norza. 

Zulfadli yang juga bekas juara remaja dunia dan Asia ketika sidang medianya, minggu lalu mendakwa BWF menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh kerana badan induk itu tidak memaklumkan secara spesifik perlawanan yang mana diaturnya.

Sumber: BH Online