Berlapang Dada Terima Keputusan - KPN


KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta berlapang dada menerima apa juga keputusan selepas proses pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata semua pihak harus menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka kerana ia pilihan rakyat.

"Kita mesti 'gentleman' terima keputusan yang dibuat oleh semua pengundi sama ada di peringkat Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mahu timbul sebarang unsur berhubung ada yang tidak mahu menerima hakikat keputusan yang dibuat oleh rakyat sendiri," katanya ketika ditemui di Jalan Pantai, di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata, pasukannya bagaimanapun akan sentiasa berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk memantau dan mengawasi perjalanan saat-saat akhir mengundi; pengiraan dan pengumuman keputusan.

Fuzi juga memaklumkan sehingga tengah malam tadi, PDRM sudah menerima lebih 1934 laporan polis di seluruh negara berhubung perbuatan khianat dan sabotaj serta membakar bendera parti yang bertanding.

"Jumlah itu direkodkan sejak hari penamaan calon lalu sehingga tempoh berkempen berakhir pada tengah malam tadi," katanya.

Katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang dilakukan di seluruh negara yang berlangsung sehingga jam 1 petang tadi tanpa sebarang gangguan dan kekecohan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata proses mengundi yang berlangsung di seluruh Kuala Lumpur berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Berdasarkan maklumat sehingga jam 4 petang ini, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan semuanya berjalan lancar dengan kawalan dan pemantauan pegawai dan anggota polis.

"Orang ramai juga didapati tidak menghadapi sebarang masalah meletakkan kenderaan, kesesakan jalan raya atau perkara lain yang tidak diingini," katanya.

Sumber: BH Online