Blok 404 Ditayang Musim Raya


KUALA LUMPUR - Perasaan penerbit dan pelakon, Datuk Boy Iman, bercampur baur antara teruja dan berdebar menantikan tayangan filem, Blok 404, pada 28 Jun depan.

Pada masa sama, ahli perniagaan kontroversi terbabit yakin filem terbitan dan lakonannya itu bakal mendapat sambutan hangat di pawagam apabila ia mula diputarkan kira-kira dua minggu selepas Aidilfitri.

Katanya, selepas melihat sendiri hasil sentuhan pengarah berbakat, Isma Aizal Yusoof, dia optimis orang ramai akan terhibur dengan naskhah keluaran DBI Entertainment itu.

"Asalnya, filem ini patut ditayangkan pada April lalu. Namun, pihak kami berasakan tempoh promosinya terlalu singkat, selain bertembung dengan filem antarabangsa, Avengers: Infinity War. Jadi, kami meminta ia dianjakkan ke musim raya dan alhamdulillah, permohonan itu diterima.

"Perasaan saya kini memang bercampur baur. Saya juga sedar, ada pihak yang skeptikal terhadap kemampuan saya dan produksi untuk menzahirkan filem ini, selepas 16 tahun ia dihasilkan dalam bentuk video cakera padat (VCD). Namun, saya tidak mahu menjadikannya sebagai penghalang untuk merealisasikan impian terbabit.

"Blok 404 memang mempunyai nilai sentimental buat diri saya sendiri. Sebagai pelakon asalnya yang kini bertindak sebagai penerbit untuk versi filem, saya berharap ia mampu menjadi penanda aras terbaik untuk kerjaya seni," katanya kepada BH Online.

Menurutnya, walaupun filem berkenaan menggunakan bajet kecil sekitar RM700,000 saja, dia tetap berpuas hati dengan hasilnya.

Blok 404 yang bercorak cemas pernah mencetuskan fenomena ketika diedarkan dalam format VCD sekitar 2003.

"Tidak semestinya pada musim perayaan kita hanya disajikan dengan cerita sedih atau ceria. Kami cuba menggantikan filem sedemikian dengan naskhah yang mempunyai elemen seram dan ganas. Lagipun, cerita sebegitu boleh ditonton di televisyen.

"Saya boleh katakan, Blok 404 sebuah naskhah yang mengadunkan cerita pembunuhan seperti dapat dilihat dalam filem keluaran Thailand, Indonesia dan Korea," katanya.

Selain dirinya, filem terbabit turut dibintangi oleh Zamarul Hisham, Amar Asyraf, Aedy Ashraf, Risteena Munim, Izreen Azminda, Fasha Sandha, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Sumber: BH Online