BN Perak Cukup Kerusi Bentuk Kerajaan – Zambry


IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak yang kini mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri, akan memohon menyembah maklum dan mendapatkan perkenaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tiada parti yang bertanding memperoleh jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri.

Beliau berkata BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR pula memperoleh 29 kerusi dan PAS memperoleh tiga kerusi.

“Bagaimanapun sukacita saya ingin memaklumkan bahawa BN telahpun mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi membentuk Kerajaan Negeri Perak.

Justeru, saya akan memohon untuk menghadap Sultan Perak bagi menyembah maklum akan kedudukan terkini dan mendapatkan perkenaan untuk membolehkan Kerajaan Negeri Perak bagi Penggal Ke-14 dibentuk sesuai dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak,” katanya.

Kenyataan Zambry itu dibaca oleh Pengarah Komunikasi dan Media Pejabat Menteri Besar Perak, Nizamuddin Mat Isa di sini malam ini.

“Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan kenyataan jika terdapat terdapat apa-apa maklumat terbaru mengenai perkara itu,” katanya lagi.

Sehingga kini, Perak tidak membentuk kerajaan negeri berikutan tiada mana-mana parti yang bertanding mendapat majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Dalam PRU14, 59 kerusi DUN yang dipertandingkan menyaksikan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menang 29 kerusi manakala BN (27) dan PAS (tiga). – BERNAMA