Boxpark Alor Setar Cetus Fenomena Bersantai Golongan Muda


ALOR SETAR - Pusat sehenti berkonsepkan kontena terpakai 'Boxpark Alor Setar' di Dataran Tanjung Chali, di sini yang akan beroperasi bermula 15 Mei ini bakal mencetus fenomena baharu bagi golongan muda untuk beriadah dan bersantai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin berkata, projek usaha sama dengan DXN Holdings Berhad diharapkan bakal menjadi ikon sebagai pusat aktiviti bagi golongan muda untuk bersosial dan menghabiskan waktu lapang mereka.

"Bagi memeriahkan pusat sehenti ini, kami menerapkan elemen keusahawanan yang mempunyai ruang niaga bagi golongan muda menjual barangan yang dihasilkan sendiri sekali gus menambah pendapatan.

"Kita tengok sekarang golongan muda suka bersantai. Dengan wujudnya projek ini ia membolehkan golongan muda dari seluruh negeri berkumpul dan bersantai sambil menikmati pelbagai kemudahan seperti perkhidmatan wifi.

"Projek unik ini membabitkan pusat perniagaan dua tingkat yang menyediakan ruang perniagaan untuk disewa berkonsepkan binaan dari kontena terpakai yang disusun secara unik dan mampu merasai keseronokan kepada mereka yang berkunjung ke sini," katanya.

Muda (ANAK) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Dataran Tanjung Chali di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi DXN Holdings Berhad, Datuk Dr Lim Siow Jin berkata, pihaknya berharap projek ini mampu menjadi ikon pelancongan hingga berupaya meningkatkan ekonomi negeri.

"Projek ini bukan sekadar menjadi tempat untuk golongan muda bersantai tetapi ia berupaya menjadi lokasi mempromosikan barangan tempatan dan kebudayaan Kedah kepada pelancong tempatan dan luar negara," katanya.

Sumber: BH Online