Calon MB Perlis Menjadi Teka-Teki


ALOR SETAR - Situasi siapa bakal Menteri Besar Perlis, masih belum terjawab walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya sebagai calon kerusi panas berkenaan.

Walaupun Shahidan menyatakan secara jelas wakil rakyat BN tidak akan melompat ke parti lain, isu perlantikan Menteri Besar masih menimbulkan persoalan.

Tindakan Shahidan menamakan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim menimbulkan persoalan baru, apabila Timbalannya, Datuk Seri Azlan Man mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Azlan sebelum ini Menteri Besar Perlis, berkata beliau hanya mengetahui Ismail dicadangkan Menteri Besar selepas dihubungi NSTP, semalam.

"Saya tidak tahu. Segala keputusan perlu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail," katanya.

Azlan yang juga ADUN Bintong turut menafikan beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

"Saya masih di Perlis. Dakwaan mengatakan saya bertemu Tun Dr Mahathir tidak benar," katanya.

Persoalan mengenai jawatan Menteri Besar Perlis timbul apabila BN masih belum memutuskan calon biarpun telah memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Shahidan memaklumkan kepada media cadangan menamakan Ismail selepas mendapat sokongan majoriti wakil rakyat BN Perlis.

Malah, Shahidan berkata, beliau sudah mengadap Raja Perlis pada jam 11.30 pagi tadi bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila majlis angkat sumpah akan berlangsung dan memaklumkan ia bergantung kepada Istana Arau.

Mengulas sebab Azlan perlu diganti dengan Ismail sebagai Menteri Besar, Shahidan berkata itu keputusan parti.

"Semua pihak perlu terima keputusan ini. Ini hasil persetujuan wakil rakyat BN Perlis.

"Tidak timbul isu lewat kerana kami mahu melompat parti kerana kerajaan persekutuan adalah Pakatan Harapan.

"Kami menang 10 daripada 15 kerusi. Kami akan berusaha mencari jalan untuk membantu rakyat," katanya.

Sumber: BH Online