Cuci Kaki Ibu Cara Hargai Pengorbanan Ibu


INDONESIA – Terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan kasih sayang dan penghargaan kepada seorang ibu atas segala pengorbanan yang dilakukan.

Bagi penduduk Halmahera Barat, terutama masyarakat Loloda, ritual sigofi hohu atau ritual cuci kaki adalah cara mereka menghargai kaum ibu.

Tradisi tersebut biasanya berlangsung di majlis perkahwinan atau ketika meraikan tetamu yang baru pertama kali berkunjung ke daerah itu.

Demi memastikan tradisi lama berkenaan diteruskan, sekumpulan pelajar sekolah mengambil bahagian dalam ritual istimewa itu ketika sambutan Festival Teluk Jailolo semalam.

Dalam acara tersebut, pelajar mencuci kaki ibu masing-masing dengan air serta sejenis rumput dikenali sebagai kano-kano, ia simbolik kepada air yang bermakna sumber kehidupan (ibu) dan rumput yang memerlukan air (anak).

Sebuah gong kecil kemudian dipalu sebagai tanda peringatan betapa pentingya menghormati ibu setiap waktu, malah syair yang mengingatkan setiap anak agar menghargai ibu mereka turut disampaikan.

Masyarakat Loloda percaya ritual sigofi hohu melambangkan kasih sayang antara anak dengan orang tua mereka.

Sumber: Suara TV