Cukai SST Mula 1 September


PUTRAJAYA - Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus mulai 1 Jun ini akan dilaksanakan mulai 1 September depan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata harga barang sepatutnya turun sekurang-kurangnya enam peratus selepas kadar sifar GST dilaksanakan.

"Kita telah buat janji dalam manifesto dan dalam jangkaan 100 hari kita akan laksanakan janji.

"Masalah keadaan lebih teruk dari jangkaan kita semasa kita siapkan manifesto. Janji yang dibuat akan ditunaikan tapi ambil kira keadaan kewangan dan tidak jejaskan pentadbiran negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia yang akan dikendalikan Kementerian Kewangan bagi orang ramai yang hendak membantu memperkukuhkan keadaan kewangan negara.

"Kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik rakyat yang membuat inisiatif memungut derma bagi disumbangkan kepada kerajaan.

"Kita akan tentukan derma ini akan sampai kepada pihak bertanggungjawab... semua derma akan diberikan kepada Kementerian Kewangan dan nombor akaun bagi penyaluran derma itu akan diumumkan sedikit masa lagi," katanya.

Turut diumumkan ialah pemindahan Program Pusat Permata Negara (Permata) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Pendidikan.

Sumber: BH Online