DAP Guna Logo PKR Perdaya Pengundi Melayu


KLANG - Persetujuan DAP bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah untuk memperdaya pengundi, terutama masyarakat Melayu.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Datuk Saroni Judi, berkata keputusan pakatan pembangkang untuk parti gabungannya bertanding menggunakan logo PKR pada PRU-14 hanya akan memberi kelebihan kepada DAP.

"Keputusan DAP bertanding menggunakan logo PKR berbanding logo roketnya adalah untuk memperdaya pengundi Melayu. Orang ramai tidak sedar pakatan pembangkang masih dikuasai oleh DAP.

"Orang ramai sudah sekian lama mengaitkan lambang bujur mata itu dengan PKR. Justeru, mereka mungkin berfikir calon PKR yang bertanding di semua kerusi.

"Pengundi mungkin mengundi PKR tanpa menyedari mereka sebenarnya mengundi calon DAP," katanya kepada NSTP selepas menghadiri satu majlis di Kompleks Rakan Muda di Sementa, di sini,semalam.

Saroni berkata, DAP masih mendominasi pakatan pembangkang jika ia menang pilihan raya umum nanti berikutan parti itu mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling tinggi berbanding parti sekutunya.

Pakatan pembangkang akan bertanding di 165 kerusi Parlimen di Semenanjung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (PAN) di 27 kerusi.

"Daripada 35 kerusi ditandingi DAP di Semenanjung, 31 adalah kerusi yang dimenangi pada PRU-13. DAP juga bertanding di 19 kerusi di Sabah dan Sarawak, dengan jumlah keseluruhan kerusi ditandingi di seluruh negara adalah 54.

"Jelas DAP adalah tulang belakang pakatan pembangkang, pihak yang akan membuat semua keputusan besar, menggubal dasar dan menentukan kedudukan penting dalam kerajaan jika mereka menang PRU-14.

"Fikirlah dengan teliti sebelum mengundi. Memilih PKR juga bermaksud mengundi DAP," katanya.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa PKR mahu menggunakan wang kerajaan negeri demi kepentingan parti ketika Selangor ditadbirnya, Saroni berkata, ini membuktikan PKR tidak seharusnya diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan negeri.

"PKR memecat Khalid kerana integritinya yang tinggi mentadbir negeri. Pemimpin mana yang berbuat demikian? Kita sudah tidak boleh meletakkan pentadbiran negeri kepada parti yang rasuah," katanya.

Sementara itu, calon BN di Meru, Khairul Anuar Saimun turut senada dengan pandangan Saroni terhadap DAP.

Katanya, DAP sedar mereka tidak boleh menang di mana-mana kerusi yang ramai pengundi Melayu jika parti itu bertanding menggunakan logo sendiri.

"DAP hanya menggunakan PKR untuk berkuasa. Malah, pemimpin DAP sebelum ini pernah mengakui mereka mahu menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad (calon PKR di Langkawi) untuk kepentingan politiknya.

"Mereka (DAP) tahu sentimen Melayu. Jadi, untuk mendapat undi, terutama undi Melayu, mereka bersetuju bertanding di bawah PKR. Tetapi, kita perlu ingat, DAP adalah suara di belakang PKR," katanya.

Sumber: BH Online