Disangka Warga Asing, Dua Beradik Dipukul



PASIR GUDANG - Hanya kerana wajah mirip warga asing, dua lelaki tempatan dipukul enam lelaki ketika mahu menjalankan tanggungjawab mengundi di Johor Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa A Ambiga Pathi, 28, dan abangnya A Ragupathy Raja Ram, 37, dihalang 15 individu sebelum dipukul enam lelaki lain.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, susulan kejadian itu, pihaknya sudah menahan enam lelaki untuk siasatan lanjut.

"Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 1 di sini dan suspek memukul mangsa kerana syak mangsa bukan warganegara yang datang untuk mengundi.

"Semua enam suspek berusia antara 21 hingga 27 tahun itu sudah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Khalil berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kedua-dua mangsa hanya lebam di bahagian belakang badan dan pipi.

"Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak bertindak mengikut emosi kerana negara ini mempunyai undang-undang dan jika tak puas hati, rujuk pada pegawai bertugas di semua pusat mengundi," katanya.

Sumber: BH Online