Dr. Hilmi Lepaskan Semua Jawatan Dalam UMNO, BN


BALIK PULAU - Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa semalam.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan berkata, jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau akan dipangku Timbalannya, Datuk Dr. Muhammad Farid Saad.

Menurut Dr. Hilmi, beliau mengambil keputusan untuk berehat selepas 28 tahun berkecimpung dalam dunia politik khususnya dalam mewakili suara penduduk Balik Pulau sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.

"Saya akan kekal menjadi ahli UMNO dan sedia membantu semua pihak demi kepentingan rakyat.

"Saya mendoakan UMNO akan kembali bangkit dan membela untung nasib orang Melayu dan seluruh lapisan masyarakat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr. Hilmi gagal mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau yang disandangnya selepas tewas kepada calon PKR, Muhamad Bakhtiar Wan Chik dengan 6,464 majoriti undi.

Sumber: Utusan Online