Dr Mahathir Biadap, Gelar Shuhada Memali Mati Katak


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang tua yang biadab kerana sanggup menyelar syuhada Memali sebagai mati katak.

Nasrudin berkata, bekas perdana menteri itu sudah kehabisan modal dan isu bagi merasionalkan keaktifan semula beliau dalam arena politik tanah air.

Beliau berkata, sebelum ini, Dr Mahathir turut menempelak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai munafik dan kelmarin menghina syuhada Memali, sekali gus menunjukkan wajah sebenar beliau yang tidak pernah berubah sejak dulu.

"Dr Mahathir kian gersang idea bagi membuktikan bahawa beliau masih punya nafsu segar untuk menjadi Perdana Menteri sehingga terpaksa mengemukakan kembali isu yang sudah diperap sejak 30 tahun lalu.

"Apa yang jelas, peristiwa Memali masih menghantui Dr Mahathir kerana beliau sendiri tidak pernah boleh melupakan kesan pemerintahan rejim beliau yang ganas dan zalim itu.

"Untuk keluar dari igauan ngeri itu, beliau sekali lagi menafikan kesyahidan mangsa peristiwa Memali, sebaliknya menuduh mereka mati katak.

"Sultan Kedah sendiri turun menyiram mawar di pusara syuhada berkenaan, selain golongan alim ulama, tok guru pondok turut memfatwakan mangsa Memali itu sebagai syuhada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, kebiadapan melampau Dr Mahathir itu adalah manifestasi nafsu beliau untuk menjadi perdana menteri dan keinginan kembali berkuasa.

Lebih menghairankan, bakal Perdana Menteri tajaan pakatan pembangkang itu juga, kata Nasrudin, mampu membuatkan semua bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara ( PAN) membungkam sejuta bahasa.

"Bekas pemimpin PAS ini dulunya antara yang paling lantang mempertahankan kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya dan rakannya," katanya.

Kata Nasrudin, Dr Mahathir sebenarnya tidak pernah anti-UMNO atau Barisan Nasional (BN), sebaliknya sekadar mendendami Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, serangan Dr Mahathir sebenarnya lebih terarah kepada PAS dan PAS kekal menjadi musuh nombor wahid (satu) beliau.

"Sungguh bahaya mempertaruhkan masa depan negara kepada manusia yang bukan saja tidak tahu untung, malah berlagak angkuh di bumi Allah SWT dengan sewenang-wenangnya menghina golongan alim ulama dan merendahkan Islam.

"Jika ini calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, janganlah rakyat terpedaya dan percaya bahawa negara akan lebih baik daripada apa yang ada kerana kemungkinan besar Malaysia akan lebih rosak tamadun dan peradabannya," katanya.

Sumber: BH Online