KEPALA BATAS - Tun Dr Mahathir Mohammad dianggap bukan wajah yang sesuai bagi masa depan Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, negara kini dalam usaha untuk setaraf negara maju lain dan kemampuan Dr Mahathir yang berusia 93 tahun memacu negara adalah dipersoal.
Katanya, perkara itu turut diakui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu calon PKR Parlimen Langkawi itu duduk berehat saja.
"Dia (Dr Mahathir) sudah 'habis Maghrib' dan sudah hendak 'masuk Isyak'. Dia tidak boleh membawa Malaysia ke depan lagi dan bukan menjadi wajah masa depan negara.
"Sebab itu saya menghormati Tun Abdullah Ahmad Badawi, apa jadi Pak Lah tetap menyokong Barisan Nasional (BN) kerana beliau tahu kita akan terus berjuang untuk masa depan negara," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, kelmarin.
Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dan calon BN Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Najib berkata, tindakan Dr Mahathir dan anaknya, Tan Sri Mokhzani memperlekehkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga amat dikesalkan kerana bantuan itu sudah memberi banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
"Mokhzani tidak sepatutnya menghina penerima BR1M hanya kerana beliau kini menjadi usahawan kaya yang memiliki 23 kereta mewah termasuk Bugatti yang juga kereta termahal di dunia.
"Apapun, kita mahu tanya siapa bapa Mokhzani? Bapanya adalah bekas perdana menteri yang memberikannya projek PETRONAS bernilai berbilion ringgit," katanya.
Mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa mereka berjaya mendapat sokongan kakitangan awam, Pengerusi BN itu berkata, majoriti yang hadir di ceramah pembangkang malam Khamis lalu, adalah penyokong luar.
"Hakikatnya ramai orang luar hadir pada program itu, tetapi pembangkang berbangga mendakwa penduduk Putrajaya sudah menyokong mereka.
"Ini berbeza dengan BN apabila kita tidak memerlukan orang luar bagi memenuhkan ceramah dan percayalah pada 9 Mei ini kita akan mendapat mandat membentuk Kerajaan Pusat baharu," katanya.
Sumber: BH Online