Dr. Vida Buat Single Raya Pula


KUALA LUMPUR - Sempena bulan Ramadan, pengasas produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida, 47, mengambil peluang untuk menghasilkan lagu baharu.

Lagu ciptaan Cat Farish dari kumpulan Ruffedge itu diberi judul La Vida Raya dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi dalam waktu terdekat ini.

Beliau yang sebelum ini tampil dengan single I Am Me ketika dihubungi Utusan Online berkata, kali ini semua urusan dilakukan sendiri.

“Lagu saja saya minta Cat buat sebab saya tak pandai. Saya rakam lagu La Vida Raya dua minggu sebelum puasa, itu pun dua kali rakam. Masa rakaman pertama, saya tak puas hati sebab suara kurang memuaskan dan bila buat rakaman semula, baru rasa sedap sikit.

“Rentak lagu ini catchy jadi kenalah dengan jalan ceritanya yang ceria. Konsep lagu ini mudah saja sebab nak gambarkan suasana raya yang meriah apabila anak-anak balik raya dan berkumpul bersama ibu bapa. Bila semua balik kampung, mesti meriah,” katanya.

Jika dulu beliau pernah mendapatkan khidmat Ghaz Abu Bakar untuk mengarah muzik video I Am Me, kali ini Dr. Vida lebih senang melakukan sendiri dengan kerjasama daripada kakitangan syarikatnya.

Muzik video yang jalan ceritanya ditulis oleh salah seorang pekerja bernama Anis itu urut dijayakan oleh kira-kira 150 orang termasuk ahli keluarga dan kaki tangan syarikat.

“Jangan tak percaya, saya yang tentukan syot-syot mana yang mahu diambil. Memandangkan sebelum ini saya dah berhabis banyak, kali ini kos buat muzik video ini amat minimum. Saya jadi pengarah bersama pembantu peribadi saya, Ahmad Iqbal Zulkefli.

“Iqbal juga jadi jurukamera dan buat suntingan. Malah untuk muzik video ini, Cik B (anak) dan saya turut ajar langkah tarian. Dalam waktu terdekat ini, muzik video La Vida Raya akan dimuat naik dalam YouTube. Tunggu ya!,” katanya ceria.

Sumber: Utusan Online