Elaun Balik Mengundi Bukan Rasuah Jika Dah Bagi Selepas Mengundi- Mufti Pahang


PETALING JAYA - Selepas hampir seminggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu, timbul kemusykilan dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada wang elaun balik mengundi dianggap sebagai rasuah atau sebaliknya.

Bagi mendapatkan kepastian, mStar Online mendapatkan penjelasan daripada mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman mengenai status elaun tersebut.

"Kebiasaannya rasuah ini berlaku sebelum (hari kejadian), tapi kalau bagi selepas tu, ia bukan rasuah lagi dah.

"Walaupun pemberi itu bertanya parti mana yang diundi penerima (sebelum memberikan wang), elaun yang dihulurkan selepas undian dibuat boleh dianggap sebagai pemberian.

"Kalau nak bagi, itu terpulang. Selebihnya, wallahualam (hanya Allah yang tahu)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Jawapan mengenai hukum menerima wang elaun balik mengundi oleh Zulkifli menerusi laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, menurut laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Bakri, hukum menerima wang tersebut adalah harus.

"Hukum pada asalnya adalah harus, selama mana dinamakan sebagai pemberian," jawabnya.

Pada PRU14, terdapat pengundi yang mendakwa urusetia parti tertentu bertanyakan tentang parti mana yang telah diundi sebelum memberikan elaun tersebut.

Ada juga pengundi mendakwa hanya perlu menunjukkan dakwat di jari sebagai tanda sudah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi mendapatkan elaun tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata dari segi undang-undang, menawarkan sebarang bentuk dorongan kepada pengundi, sama ada wang tunai atau hadiah, adalah rasuah.

Katanya, ia diberikan dalam bentuk elaun perjalanan bagi menarik perhatian pengundi untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.

Sumber: Mstar Online