Fadilat Baca Al-Quran Pada Ramadan


Ramadan bulan diturunkan al-Quran seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik berkata, umat akhir zaman perlu berusaha supaya al-Quran boleh singgah di hati mereka sebagai penerang kehidupan.

Kitab yang mengandungi wahyu daripada Allah SAW itu adalah hidayah dan keterangan yang dapat membantu umat menilai perkara betul serta salah.

"Jika kita boleh adakan masa untuk membeli juadah berbuka puasa dan baju raya, kenapa kita tidak boleh adakan masa untuk membaca al-Quran. Kita juga diberi cara bagaimana hendak khatam pada bulan Ramadan, berapa banyak perlu baca, tinggal lagi kemahuan untuk melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata, membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana hukum membaca al-Quran bukan wajib, tetapi sunat. Namun, apabila dibaca pada bukan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Justeru katanya, sesiapa yang melakukan biarpun sekecil kebajikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan mulia ini, termasuk membaca al-Quran, dia seakan sudah melaksanakan amalan fardu.

Pupuk semangat istiqamah

Mohd Nazri berkata, memulakan membaca al-Quran pada bulan ini dengan usaha yang jitu diharap menjadi pemangkin untuk melatih diri merasai kemanisan mengalunkan ayat suci dan menjadikan kita seorang yang istiqamah.

Pada masa sama katanya, digalakkan untuk meningkatkan usaha dengan bertadabbur iaitu mengetahui makna ayat, kemudian diikuti membaca tafsir al-Quran bagi memahami isi kandungan mukjizat kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW.

"Istiqamah terbentuk dengan membiasakan diri dan diharap dengan melazimkan membaca sepanjang bulan ini, kita akan terus membaca al-Quran. Sebab itu kita digalakkan berdoa supaya dapat menghayati Ramadan, membaca al-Quran dan melakukan ibadat dengan niat baik," katanya.

Pengurus Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz, Nur Nadhrah Mohamed Yunos berkata, disunahkan khatam al-Quran pada Ramadan seperti dilakukan Rasulullah SAW yang akan bertemu Jibril untuk membacakan kepadanya al-Quran.

Beliau berkata, sudah menjadi amalan umat Islam mengambil kesempatan pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan rahmat untuk menanamkan tekad serta berusaha memastikan mereka dapat khatam dengan membaca serta bertadarus al-Quran.

"Al-Quran adalah zikir yang paling agung dan kebanyakan kita akan berlumba untuk khatam pada bulan ini. Ramadan juga memiliki pengkhususan dengan kitab suci kerana ia diturunkan pada bulan umat Islam difardukan berpuasa," katanya.

Pahala seperti ibadat fardu

Bagi tujuan itu, Nur Nadhrah berkongsi jadual untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada Ramadan ini dengan membaca enam halaman setiap kali selepas solat fardu yang bersamaan dengan satu juzuk 10 halaman sehari.

Tambahan katanya, satu amalan fardu yang dilakukan pada bulan Ramadan mendapat 70 pahala amalan fardu pada bulan lain dan satu amalan sunat mendapat pahala satu amalan fardu. Justeru, tawaran keemasan sebegini tidak wajar dilepaskan.

"Lebih-lebih lagi ketika mengakhiri bulan Ramadan iaitu penantian lailatulqadar. Jangan sampai tidak baca al-Quran di malam itu kerana Allah SWT menyatakan lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan atau sama dengan 354,000 kali malam biasa," katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Sumber: BH Online