Fahmi Reza: Saya Akan Terus Kritik Pihak Kerajaan


PETALING JAYA - Kartunis kontroversi Fahmi Reza yang terkenal dengan lakaran “badut” bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar akan terus mengkritik kerajaan baru sekiranya ia melakukan kesalahan.

Fahmi turut mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak menyekat aktivis dan pengkarya sepertinya daripada mengkritik kerajaan.

“Yang paling penting, jangan sekat hak asasi rakyat untuk mengkritik pemerintahan kamu, jangan hantar polis untuk siasat dan tangkap aktivis yang akan mendedahkan salah guna kuasa kamu, dan jangan tangkap dan dakwa pereka grafik yang akan menghasut dan ‘sakitkan hati’ kamu dengan lukisan satiranya di media sosial dan di dinding-dinding jalan,” tulisnya di Facebook.

Katanya, walaupun Dr Mahathir sudah berubah haluan dan mengambil pendirian bersama “perjuangan rakyat dalam melawan rejim Barisan Nasional (BN)”, beliau tidak akan berhenti “buat benda yang sama aku buat masa zaman pemerintahan BN dulu”.

Fahmi, 40, lantang mengkritik Dr Mahathir sejak 16 tahun lalu.

Beliau didakwa atas tuduhan mengaibkan pemimpin negara, selepas lukisannya menampilkan Najib seperti badut yang dikongsikannya di media sosial 2 tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 1 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun selepas beberapa kali keputusan tertangguh, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 terhadapnya pada 20 Februari lalu.

Sumber: FMT