KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap menaruh harapan agar pasukan negeri dan kelab tidak menghalang mana-mana pemain menyertai skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.
Pemangku Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi berkata, peluang untuk jurulatih Datuk Ong Kim Swee mendapatkan pemain terbaik masih ada memandangkan kemungkinan hanya ada dua perlawanan awal Piala Malaysia berlangsung pada sesi latihan pusat bermula 1 Ogos nanti.
"Skuad B-23 akan memulakan latihan pada awal Ogos selama 10 hari sebelum ke Sukan Asia. Kemungkinan dalam tempoh itu, setiap pasukan hanya mengharungi dua perlawanan Piala Malaysia dan selepas itu saingan bersambung semula selepas Sukan Asia.
"Saya melihat dua perlawanan ini tak akan memberi kesan kepada persiapan skuad B-23. Kita berharap agar pemain yang akan dipanggil oleh Kim Swee nanti akan mendapat pelepasan pasukan masing-masing kerana ini tanggungjawab mereka juga untuk membentuk pasukan ini.
"Skuad B-23 ini adalah pasukan masa depan negara, ini pasukan terbaik yang kita ada, jadi saya percaya, semua pasukan faham keperluan ini," katanya.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan kebimbangan Kim Swee mengenai persiapan pasukannya kerana belum ada jaminan beliau akan dapat memanggil pemain terbaik ke Sukan Asia memandangkan jadual bertindih dengan Piala Malaysia.
Ketika mempersiapkan pasukan menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada 26 pemain yang disenaraikan melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat.
Bagaimanapun, Yusoff yang juga pengurus pasukan skuad B-23 yang melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di China, awal tahun ini tidak menolak kemungkinan ada pasukan hanya melepaskan pemain pada saat akhir.
"Mungkin ada pasukan yang hanya mahu melepaskan pemain selepas dua perlawanan Piala Malaysia itu, tapi saya berharap, ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk jurulatih mempersiapkan pasukan pada saat akhir.
"Tapi terpulang kepada penilaian jurulatih sama ada masih mahu menerima pemain pada saat akhir atau hanya mengekalkan pemain yang melaporkan diri awal," katanya.
Sumber: BH Online