FGV Untung RM26.22 Juta Suku Pertama Pada 31 Mac Selepas Rugi RM32.26 Juta Tahun Lalu

 

FGV Holdings Bhd (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM26.22 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, selepas berdepan kerugian RM32.26 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu disokong peningkatan produktiviti dan sumbangan lebih baik daripada sektor gula dan logistik & perniagaan sokongan (LSB).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, berkata keuntungan bersih FGV meningkat kepada RM8.47 juta pada suku pertama tahun ini, berbanding kerugian sebanyak RM32.20 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2017.

"Sektor gula mencatatkan keuntungan sebanyak RM22.01 juta pada suku pertama 2018, berbanding kerugian sebanyak RM23.16 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Ia sebahagian besar disumbangkan kos bahan mentah yang lebih rendah, kadar tukaran asing yang menggalakkan serta penurunan perbelanjaan pentadbiran sebanyak 33 peratus berbanding suku sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sektor LSB mencatatkan keuntungan sebanyak RM25.36 juta pada suku pertama 2018, berbanding kerugian sebanyak RM39.50 juta pada suku tahunan sebelumnya susulan peningkatan lebih tinggi dalam perniagaan pukal dan peningkatan jumlahpengangkutan yang dibawa oleh operasi pengangkutan Kumpulan.

"Bagaimanapun, sektor perladangan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 61.4 peratus kepada RM18.29 juta, disebabkan harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) lebih rendah iaitu sekitar RM2,472 satu tan berbanding RM3,061 satu tan pada suku pertama 2017," katanya. .

Zakaria berkata, pihaknya berbesar hati dengan penambahbaikkan operasi yang telah dicatatkan.

"Tumpuan yang diberikan kepada penambahbaikkan operasi untuk meningkatkan produktiviti telah membuahkan hasil.

"Kami akan terus mendorong peningkatan produktiviti dan kecekapan kos dalam setiap sektor dan berharap untuk melihat trend peningkatan ini akan berterusan," katanya.

Katanya, FGV telah mengambil pekerja yang mencukupi untuk memenuhi keperluan selain melaksanakan tanam semula secara agresif untuk memperbaiki profil usia pokok.

"Masih banyak yang perlu dilakukan. Kami akan lebih fokus untuk menyampaikan hasil yang lebih baik," katanya.

Sumber : Utusan