MERBOK - Beberapa isu dan infrastruktur terutama di Parlimen Merbok merangkumi isu air, bancian semula kemiskinan mengikut kategori dan isu membabitkan nelayan, antara yang akan difokuskan.
Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina@Nor Azrina Surip menjelaskan, pihaknya kini sedang mengemas kini isu yang dibangkitkan agar mampu memberikan perkhidmatan lebih baik yang kondusif terutama membabitkan masalah air di Merbok.
Menurutnya, isu air antara yang diberi keutamaan memandangkan sebelum ini bekalan itu berdepan masalah berlarutan biarpun beberapa langkah telah dijalankan bagi memastikan ia dapat diatasi.
“Saya baru sahaja mengadakan pertemuan dengan Sada bagi membincangkan isu air di Merbok dan kita bersedia untuk memberikan cadangan dan langkah-langkah terbaik,” katanya.
Sementara itu, katanya, beliau kini sedang dalam proses mengumpulkan data dan analisis melalui bancian semula kemiskinan.
“Sekiranya ia dikumpulkan melalui kategori tertentu, lebih mudah untuk kita kenal pasti dan sistematik, ia juga bagi mengelakkan ada golongan yang tercicir yang sering dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa sama, komuniti nelayan terutama di Tanjung Dawai tidak akan terkecuali dari mendapat manfaat memandangkan golongan itu antara penyumbang utama negara dalam sektor perikanan dan hasil laut.
Wakil rakyat dari PKR itu menegaskan bahawa komitmen beliau untuk membawa pengundi ke arah kehidupan lebih baik merangkumi beberapa manifesto yang telah digariskan antaranya Peduli Rakyat, Usaha Strategik, Mesra Anak Muda dan Pembelaan Wanita sedang diusahakan.
Antara manifesto lain yang tersenarai termasuk Sayangi Warga Emas dan Miskin, Cakna Pendidikan dan Ekonomi Sejahtera, yang akan diberi perhatian.
Menurutnya, antara keutamaan ketika ini ialah membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Dun Tanjung Dawai dan Dun Bukit Selambau dalam tempoh 60 hari agar dapat dilaksanakan.
“Ia bagi membolehkan hubungan interaksi dan komunikasi dengan lebih berkesan dengan rakyat dapat terlaksana,” katanya.
Sumber: Sinar Online