GST, SST, Bahan Api, Tol, Topik CEP Minggu Depan


KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dijangka mengadakan perbincangan lanjut berkenaan subsidi bahan api, Cukai Barang dan Perkhidmatan, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan serta pamansuhan tol melalui beberapa siri mesyuarat yang akan diadakan minggu depan, kata Tun Daim Zainuddin.

Daim yang mempengerusikan CEP, juga berkata, bahawa majlis berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan syarikat dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Untuk ringkasan, sejak enam hari lalu, majlis berkenaan mengadakan 40 mesyuarat dan berjumpa 50 individu termasuk pegawai kanan kerajaan dan ketua syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat, kesatuan sekerja, CEUPACS, pengurus bank dan pihak pengawal selia.

Berkenaan pemasuhan bayaran tol, Daim berkata, keputusan mengenainya hanya akan dimuktamadkan selepas CEP bertemu dengan semua pihak berkepentingan, dan tegas beliau, majlis berkenaan akan menghormati manifesto Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan dijangka mengumumkan kadar baharu tol untuk lebuh raya, yang akan memberi kesan kepada pengendali tol kerana PH berjanji untuk menghapuskan kutipan tol yang akan memberi kesan kepada harga saham syarikat-syarikat berkenaan selain turut menjejaskan pemegang konsesi.

Sementara itu, mengulas mengenai polisi fiskal negara, beliau berkata, angka yang dilaporkan tidak boleh dimanipulasi begitu juga akaunnya (yang mencerminkan angka pertumbuhan).

“Mengenai keberkesanan polisi fiskal kita, kami perlu memanggil semula Kementerian Kewangan dan mendapatkan situasi semasa (berkenaan prestasi ekonomi negara)… sehingga itu saya tidak tahu,” kata Daim.

Mengenai soalan berkaitan defisit bajet, beliau berkata, majlis berkenaan akan mengumpul maklumat dan data sebelum membuat sebarang kesimpulan berkenaan prestasi ekonomi negeri.

Berkenaan potensi penurunan penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa, beliau menyatakan bahawa, ia bukan satu kebimbangan.

“Itu hutang bon, secara kasarnya antara RM54 bilion kepada RM55 bilion, sebab itu saya kata mereka (pihak berkepentingan tol) akan melaporkan kepada saya berhubung tol berkenaan.

“Kumpuan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji dan Permodalan Nasional Bhd mempunyai tunai yang banyak,” katanya tetapi tidak memberi penjelasan lanjut.

Menurut angka Bond Price Agency Malaysia, sehingga 23 April, terdapat sejumlah RM55.3 bilion bon tertunggak daripada pelbagai pemegang konsesi tol di seluruh Malaysia.- BERNAMA