Guna Hak Mengundi Dengan Bijaksana


KLUANG - Pengundi diingatkan menggunakan hak mengundi secara bijaksana, waras, tenang dan berfikiran terbuka bagi mengelak membuat keputusan tidak rasional.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ingatan itu penting kerana akan wujud usaha mengaburi dan mengelirukan pengundi pada penghujung pilihan raya ini.

"Penghujung ini, saya percaya mungkin ada usaha nak mengaburi dan mengelirukan pengundi kita dengan tujuan tertentu.

"Saya harap mereka yang keluar mengundi pada 9 Mei ini (Rabu) tidak terikut-ikut dengan perkara tidak disahkan, lebih-lebih lagi perkara ditimbulkan dalam media sosial," katanya pada sidang media di Kampung Orang Asli Punjut, Kahang, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan amanat kepada rakyat Malaysia, terutama pengundi pada penghujung kempen sebelum bermula PRU-14, Rabu ini.

Hishammuddin berkata, perkara itu sengaja digembar-gemburkan bagi menimbulkan emosi hingga pengundi membuat keputusan tidak rasional.

"Fikirkanlah sedalam-dalamnya ketika mengundi dan gunakanlah hak mengundi secara bijaksana, waras, tenang dan berfikiran terbuka.

"Ia bagi memastikan masa depan kita akan ditentukan dengan perancangan yang rapi, jelas dan tidak dikaburi dengan emosi dan kebencian," katanya.

Katanya, hanya dengan mandat diberikan rakyat, tumpuan dapat diberikan kerajaan untuk membangunkan negara tercinta.

Sumber: BH Online