KUALA LUMPUR - Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan merencatkan kedudukan penarafan ekonomi Malaysia oleh firma penarafan dunia.
Sebaliknya menurut ahli Majlis Penasihat Kerajaan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, penarafan dijangka bertambah baik dengan pengurusan fiskal lebih cekap oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Penghapusan GST tidak akan merencatkan kedudukan penarafan kita. Kita fokus kepada bukan sahaja soal memastikan pendapatan kukuh, tetapi soal mengurus perbelanjaan berlebihan kerajaan.
“Ia termasuk menyusun semula projek kerajaan mengikut kepentingan, memastikan urus tadbir cekap, dan usaha mengurangkan pembaziran sektor awam.
“Jika ini semua bertambah baik, penarafan kita akan bertambah baik dari A kepada AA,” Katanya ketika ditemui selepas pertemuan bersama lebih 180 pengurus dana dalam dan luar negara.
Tambah Zeti kesemua segmen ekonomi termasuk sistem kewangan, ekonomi mikro, inflasi dan kestabilan kewangan adalah kukuh selain ia menyumbang positif kepada penarafan ekonomi negara.
“Ringgit akan mempunyai prestasi lebih baik jika tahap keyakinan dipulihkan. Kerajaan baharu berusaha mengatasi semua kegusaran.
Zeti berkata fokus kini tertumpu kepada cara bagaimana dan bila tempoh masa sesuai untuk penghapusan GST.
“Kami sudah berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia berkaitan GST serta subsidi, kami juga berbincang soal pendapatan negara dan perbelanjaan. Kita perlu mencari penyelesaian komprehensif,” katanya.
Tambah Zeti objektif utama adalah memastikan kuasa beli golongan B40 dan pertengahan meningkat.
“Kami akan umum strategi setelah penyelesaian komprehensif yang diperolehi,” katanya,
Pengurusan Dana positif
Sementara itu, Zeti berkata pengurus dana tempatan dan antarabangsa positif perubahan tampuk kepimpinan tidak akan menjejaskan struktur ekonomi negara.
“Saya ingin jelaskan kepada mereka perubahan ini berlaku ketika ekonomi kita ditahap kukuh, ekonomi global juga kukuh, dan kita akan cuba mengubah dasar fiskal negara,” katanya sambil menambah reaksi positif ditunjukan pengurus dana ketika pertemuan di ibu negara.
Dalam pertemuan itu sejumlah lebih 180 pengurusan dana dalam dan luar negara bertemu beliau dan Tun Daim Zainuddin bagi taklimat khas perancangan ekonomi negara serta mendapatkan input mereka bagi merangka formula ekonomi.
Sumber: Awani