Harap Proses Serah Jawatan PM Pada Anwar Tak Susahkan Rakyat


KUALA NERUS - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap sebarang tindakan yang akan dibuat kerajaan pusat di bawah pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) mengikut proses dan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya umat Islam selaku majoriti penduduk di Terengganu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian bagi mengulas dakwaan mengatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Ketua Umum Harapan itu dibebaskan.

"Itu terpulang (penyerahan jawatan perdana menteri) kepada mereka yang mendapat kuasa (jadi kerajaan pusat).

"Kita harap proses itu tidak menimbulkan kesusahan kepada rakyat..proses yang betul, yang baik, yang lebih menjamin (kesejahteraan rakyat).

"Islam mesti menguasai negara. Majoriti rakyat adalah Islam. Sebarang langkah yang menjejaskan umat dan Islam, Pas akan berdiri dengan tegas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussin Awang, barisan wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan lain-lain.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerajaan pusat yang kini diterajui Harapan, Abdul Hadi menjelaskan beliau menerima perkara itu kerana ia merupakan pilihan rakyat.

"Cuma apa yang kita harapkan ialah konsep federalisme itu perlu dihormati mengikut perlembagaan," katanya.

Sumber: Sinar Online