Harapan Gagal Kemuka Barisan Exco Kedah


ALOR SETAR - Pakatan Harapan (Harapan) didakwa masih gagal menubuhkan barisan exco kerajaan negeri segera selepas PRU14 pada 9 Mei lepas.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, sehingga kini Harapan dipimpin Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih gagal mengemukakan barisan Exco.

Menurut Ahmad Fakhruddin, keadaan berkenaan menimbulkan tanda-tanya samada beliau berdepan masalah untuk memilih barisan Exco kerajaan negeri.

"Walaupun memperolehi 18 kerusi Dun, bagaimanapun Harapan dilihat berhadapan situasi getir kerana masih tidak mengemukakan senarai Exco sehingga kini.

"Jadi, situasi tersebut menimbulkan persoalan apakah beliau menghadapi masalah pemilihan nama-nama pemegang jawatan portfolio berkenaan," katanya.

Untuk itu, kata Ahmad Fakhruddin, pihaknya merasakan keadaan berlaku merupakan cabaran yang menuntut kebijaksanaan Mukhriz membuat keputusan.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, Mukhriz perlulah akur bahawa Harapan sekadar mendapat 35.8 peratus undi daripada seluruh rakyat Kedah dalam pilihan raya umum itu.

"Manakala pihak pembangkang pula mencapai 62.7 peratus. Sementara itu, Pas berjaya mendapat 33.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 951,000 orang," katanya.

Katanya, Pas berjaya memenangi 15 kerusi dan tiga kerusi dimiliki BN, namun disebabkan amalan sistem pilihanraya "first past the post" yang diamalkan di Malaysia, maka Pas akur dengan kedudukan semalam.

"Dengan  ini, kita merasakan kedudukan kerajaan negeri tidak seimbang di antara sokongan rakyat dengan jumlah kerusi yang diperolehi," katanya.

Katanya, walaubagaimanapun Pas akan sentiasa meneliti perjalanan kerajaan dan terus komited mendekati serta mengangkat suara rakyat secara berterusan, melalui amalan demokrasi.

Sumber: Sinar Online