Harga Daging Mencecah RM36 Di Kedah


ALOR SETAR - Harga daging tempatan di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram dan membebankan pengguna.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata antara yang paling tinggi ialah di Sungai Tiang dan Paya Mat Inson di Pendang iaitu RM35 hingga RM36 sekilogram, berbanding harga biasa RM32 sekilogram.

Katanya turut berlaku kenaikan ialah di Jalan Datuk Kumbar dan Jalan Hutan Kampung di daerah Kota Setar iaitu dari RM34 hingga RM35, termasuk juga di Kulim/Bandar Bharu dan Langkawi.

"Kita bertindak atas aduan diterima dan pemantauan bersama Gerakan Pemantau mendapati ada kawasan naik dan ada yang masih kekal pada RM30 hingga RM33 seperti di Pasar Besar Alor Setar. Dakwa peniaga mereka dapat lembu hidup dengan harga mahal," katanya selepas mengadakan pemantauan harga barang sempena Ramadan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Beliau berkata harga lembu hidup ketika ini turut naik mendadak hingga RM5,000 seekor berbanding RM4,000 seekor, ekoran daripada bekalan berkurangan.

"Saya mengesyorkan agar kerajaan dapat mencari mekanisma terbaik untuk meningkatkan populasi lembu di negeri ini dengan mewujudkan lebih ramai penternak dan padang ragut yang luas agar lembu-lembu ini dapat membiak serta meningkat seterusnya harganya dapat diturunkan," katanya.

Seorang peniaga daging, Mohd Fadzly Mohd Rodzi, 33 berkata beliau tidak mempunyai pilihan melainkan menaikkan harga daging bagi menampung kos operasi yang meningkat.

"Jika dulu kami beli lembu hidup RM3,000 seekor, tetapi sekarang naik hingga RM4,500 seekor dan untuk berniaga kami beli juga dan jual tinggi sedikit, pengguna ada mengeluh kata mahal, namun mereka beli juga dalam kuantiti sedikit," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd Zahir Ishak, 49, berharap harga daging tempatan dapat dikawal agar tidak terus menekan pengguna terutama untuk kegunaan menjelang hari raya akan datang.

"Walaupun mahal, saya beli sedikt untuk berbuka bersama anak-anak di rumah, saya harap isu daging mahal ini dapat diatasi segera kerana ia naik pada setiap tahun seperti tiada kawalan oleh pihak terbabit," katanya. - BERNAMA