Helang Merah Penuh Helah- Penyerang N. Sembilan


PENYERANG muda Negeri Sembilan, N Thanabalan mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan jentera serangan Kedah menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. 

Katanya, pemain seperti Andik Vermansyah, Akhyar Rashid dan Sandro De Silva antara tunjang utama barisan depan skuad Helang Merah dan kelibat mereka harus diberikan perhatian utama untuk memastikan gawang Negeri Sembilan terselamat. 

"Selain tiga pemain terbabit, kelibat Baddrol Bakhtiar juga tidak boleh dipandang rendah kerana tonggak berpengalaman itu boleh menjadi senjata pemusnah andai dia tidak dikawal dengan baik. 

"Kedah juga memiliki bahagian tengah yang mantap diterajui Liridon (Krasniqi) dan hakikatnya, kami perlu lebih berwaspada dan tidak boleh ambil mudah kerana ia boleh membawa padah.

 "Namun, saya yakin dan percaya semua rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dan mengekang setiap gerakan skuad berkenaan, malam ini. 

"Pengalaman beraksi di Alor Setar awal bulan ini sudah tentu akan dijadikan panduan dalam usaha kami untuk memastikan impian melakar kemenangan, tercapai," katanya di sini, semalam. 

Thanabalan yang setakat ini sudah menjaringkan dua gol juga yakin dengan kehadiran ketua jurulatih baharu, Mario Lemos, untuk mengubah reputasi pasukan pada perlawanan dengan Kedah itu. 

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan tidak menghadapi masalah dengan perubahan ketua jurulatih itu, malah dapat menerima dengan baik bimbingan daripada jurulatih berasal dari Portugal itu, walaupun baharu memulakan tugas Khamis lalu.

 Pemain kelahiran Rantau itu berkata, perubahan jurulatih itu sesuatu yang biasa dalam bola sepak profesional dan sebagai pemain, mereka hanya perlu fokus untuk mendapatkan kemenangan.

 Dia yang bersedia untuk digandingkan dengan penyerang baharu, Angel Guirado, juga berharap dapat diturunkan, namun kedudukan itu terpulang kepada keputusan Lemos. 

"Apa pun, kami tidak boleh lagi memberi peluang kepada lawan dan perlu bekerja lebih keras bagi merealisasikan kemenangan kerana ia amat penting untuk membawa pasukan keluar daripada zon bahaya," katanya.

 Sumber: MyMetro