Hobi 'Gila' Keluarga Dari Alor Setar Kumpul Koleksi Coca Cola Tarik Perhatian


ALOR SETAR - Hobi mengumpul pelbagai koleksi barangan berjenama Coca Cola sejak kecil memberi kepuasan bermakna kepada peniaga kedai runcit apabila berjaya mengumpul 50,000 koleksi jenama terbabit termasuk dari beberapa negara di dunia ini.

Antara koleksi yang disimpan termasuk pembakar roti, jangka suhu, jam dinding, jam tangan, cadar, selimut, basikal, meja makan, tin dan botol yang menggunakan jenama Coca Cola.

Lee Choon Chiek, 57, berkata, dia mula menyimpan koleksi barangan itu sejak di bangku sekolah iaitu pada 1979, malah sanggup membeli barangan itu daripada rakan atau pemilik kedai semata-mata untuk menyimpannya.

Katanya, kebanyakan koleksi itu disimpan dalam dua bilik khas termasuk bilik tidur anaknya yang keseluruhannya menggunakan koleksi Coca Cola.

Lebih menarik, satu daripada bilik itu diubah suai dan diletakkan semua barangan yang disusun pada rak khas.


"Antara koleksi paling mahal yang disimpan adalah botol Coca Cola Edisi Terhad majlis perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles pada 1981 yang diperoleh dari rakan yang pulang dari England yang masih disimpan sehingga kini.

"Selain itu, ada juga botol Coca Cola terbaharu untuk Piala Dunia yang sedang berlangsung di Rusia sekarang, serta banyak lagi koleksi termasuk cenderahati perkahwinan yang hanya terhad untuk tetamu jemputan dari Thailand dan Singapura," katanya ketika ditemui di rumahnya di rumah kedai Jalan Pumpong, di sini, semalam.

Walaupun koleksi barangan terbabit kebanyakan sudah berusia antara 30 dan 39 tahun, namun ia masih tersimpan dengan baik kerana seminggu sekali dia akan membersihkan tin dan botol dengan kain bagi mengelakkannya berhabuk.

Choon Cheik berkata, disebabkan hobi 'gilanya' menyimpan koleksi Coca Cola itu sudah diketahui rakan lain, mereka turut menyokong dan ada yang memberi hadiah kepadanya sekiranya ke luar negara.


Katanya, rakan-rakan banyak membantu mengumpul koleksi hobinya itu malah kesemua barangan Coca Cola dikumpul ada yang mencecah ribuan ringgit untuk setiap botol.

"Saya terpaksa menyimpannya di tempat khas untuk mengelakkan ia rosak. Saya bercadang untuk mewujudkan sebuah Mini Muzium Coca Cola tetapi belum cukup peruntukan untuk tujuan itu.

"Jika Mini Muzium itu diwujudkan, saya percaya ramai yang akan datang melihat semua koleksi peribadi saya kerana semuanya terhad dan sukar didapati memandangkan ada yang datang dari negara luar seperti Poland, Hong Kong, China, Rusia dan boleh dikatakan hampir seluruh dunia," katanya.

Choon Cheik berkata, selain itu dia juga berhasrat untuk meletakkan namanya dalam Guinness Book of Records kerana dapat menyimpan koleksi barangan berkenaan.

Malah, dia turut mengakui sudah membelanjakan lebih RM300,000 untuk tujuan itu.


Katanya, dia kini turut mengajar anak tunggalnya, Lee Jain Wen, 26, supaya mengikut jejak langkahnya menyimpan koleksi Coca Cola di rumah mereka supaya dia dapat mewarisi hobi berkenaan.

Menurutnya, selain Coca Cola, dia turut menyimpan koleksi barangan mainan McDonald's yang disimpan di bilik khas lain dan mengumpulnya sejak tahun 1984.

"Bukan sahaja koleksi mainan tetapi paket kecil sos, talam dan pinggan kertas yang ada tulis McDonald's semuanya saya simpan," katanya.

Sementara itu, isterinya, Lee Lai Kin, 53, berkata, dia tidak berani usik segala koleksi yang disimpan kerana suaminya pernah memarahinya disebabkan mahu membersihkan habuk pada botol minuman di bilik yang dikhaskan itu.

Katanya, suaminya akan melakukan semua itu demi hobinya kerana bimbang botol dan barangan yang dipamerkan pecah.

Sumber: BH Online