Ia Kenyataan Pertama, Terakhir Rafizi - Saifuddin


PUTRAJAYA - Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai pelantikan menteri Kanan pada Sabtu lalu adalah kenyataan terakhir Rafizi.

Beliau berkata, kepimpinan PKR diterajui Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah bersedia meneruskan tugas yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Selepas kenyataan daripada Rafizi, kami berpendapat itu adalah kenyataan pertama dan terakhir daripada beliau.

"Kita sudah sedia untuk teruskan tugas yang sudah diberikan. Tidak timbul sama ada kami setuju atau tidak mengenai kenyataan beliau (Rafizi)," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Rafizi mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai menteri kanan yang dibuat Dr Mahathir tanpa perbincangan dan rundingan dengan PKR.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa penyertaan PKR dan ia sepatutnya tidak boleh berlaku apabila pelantikan itu harus dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti komponen PH.

Sebelum itu, beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu belum muktamad kerana perbincangan masih berjalan.

Pada sidang media Sabtu lalu, Dr Mahathir mengumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, sebagai Menteri Pertahanan dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Menteri Dalam Negeri.

Sumber: BH Online