KULIM - Ramadan ini sangat menyedihkan bagi Roslinda Saad, 38, setelah suaminya seorang mekanik kereta di Kampung Keladi di sini meninggal dunia akibat serangan jantung pada 5 Mei lalu.
Kematian Ismail Johari, 44, itu sekali gus mengakibatkan Roslinda serta enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah hilang tempat bergantung.
Lebih malang Roslinda memberitahu, kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung kini menyebabkan mereka enam beranak terpaksa berpindah keluar dari rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa.
“Semasa suami ada, dia membayar sewa rumah kira-kira RM500 sebulan dan berikutan kesusahan menimpa secara tiba-tiba itu, saya ambil keputusan keluar sahaja dari rumah sewa untuk tinggal bersama adik ipar, Soraya Johari di Taman Sejahtera Jaya, Jalan Makmur, Lunas, ” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia kini dihimpit masalah untuk meneruskan kehidupan apatah lagi apabila memikirkan tentang nasib dan masa depan lima anaknya yang masih bersekolah.
“Anak sulung, Nurul Syafiqa Amira, 16, belajar di Kolej Vokasional Sungai Petani, Mohammad Eyzat Danish, 14, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Besar Kulim, Mohamad Farez Danial, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Malik Kulim dan Nur Mimi Elysa, 8, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Limau Lunas dan Mohamad Fakrul Naim, 6, belajar di Tabika Perpaduan Taman Sejahtera Lunas,” katanya.
Dalam pada itu, Roslinda juga mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak, termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kulim kerana tampil membantu dengan menghulur bantuan makanan kepada anaknya, Nurul Aini, berusia dua bulan itu.
Berikutan itu, orang ramai yang ingin membantu dan menghulurkan sumbangan akibat kesusahan dialami oleh Roslinda Saad itu boleh berbuat demikian dengan menggunakan akaun Bank Islam 02057022710920.
Sumber: Utusan Online