Imbasan Baharu Ocean Infinity Gagal Kesan MH370


SYDNEY - Satu imbasan baharu lantai Lautan Hindi dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 meliputi kawasan hampir 80,000 kilometer persegi sejak Januari lalu tanpa sebarang tanda penemuan bangkai pesawat.

Namun Ocean Infinity, syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam pencarian pesawat, yang hilang lebih empat tahun lalu berkata, ia yakin untuk mencarinya.

Berita itu diterima walaupun dengan harapan awal kawasan seluas 25,000 kilometer persegi itu kemungkinan mengandungi pesawat hilang terbabit.

Dalam satu kemas kini semalam, Ocean Infinity berkata, ia sudah mengimbas sehingga 1,300 kilometer persegi kawasan sehari sejak melancarkan misinya di pantai barat Australia akhir Januari lalu.

Ia sudah melakukan pencarian di kedua-dua dalam dan luar kawasan dikenal pasti pihak berkuasa Australia.

"Walaupun ia agak mengecewakan, namun tiada tanda MH370 di kawasan pencarian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan kawasan jauh ke utara, masih ada baki masa pencarian.

"Semua orang di Ocean Infinity masih bersemangat dengan baki pencarian," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett dalam satu kenyataan dilaporkan The Associated Press (AP).

MH370 yang hilang 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China bersama 239 penumpang di dalamnya. Tiada transmisi diterima dari pesawat dalam 38 minit pertama penerbangan, namun ia dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi berdasarkan corak hanyut nahas.

Kerajaan Malaysia, China dan Australia menangguhkan pencarian rasmi hampir tiga tahun pada Januari 2017.

Laporan akhir ATSB berhubung pencarian mengakui pihak berkuasa hampir tidak mengetahui alasan kehilangan pesawat atau lokasi sebenarnya.

Januari lalu, kerajaan Malaysia berikrar untuk membayar Ocean Infinity berpusat di Texas sehingga AS$70 juta (RM277.48 juta) jika ia dapat menemui bangkai atau kotak hitam pesawat dalam tempoh 90 hari.

Ocean Infinity menggunakan sehingga lapan kenderaan autonomi yang berupaya beroperasi pada kedalaman sehingga 6,000 meter dan Plunkett melancarkan pencarian dengan mengatakan syarikatnya memiliki 'prospek realistik' menemui pesawat malang itu. -Agensi