Iran Bakal Terima Sekatan Terburuk Dalam Sejarah Jika Masih Berdegil - AS


WASHINGTON - Amerika Syarikat memberi amaran bahawa Iran bakal berdepan sekatan terburuk yang pernah dihadapinya.

Semua itu bertitik tolak dengan keputusan Presiden Donald Trump yang berundur daripada Perjanjian Nuklear Iran yang ditandatangani bekas Presiden Barrack Obama pada 2015.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata strategi pentadbiran Trump kini adalah bagi menghalang program nuklear Iran dan menentang tingkah laku serta campur tangan Iran di rantau Asia Barat.

Menurut Pompeo, Obama telah tersilap apabila percaya Iran akan menghentikan keganasan di rantau itu serta akan mematuhi undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

Tegasnya Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang terdapat dalam perjanjian tersebut telah meletakkan penduduk dunia dalam bahaya.

Malah jawatankuasa itu juga gagal meyakinkan Trump yang menuntut keselamatan warganya.

"Presiden Trump mengundurkan diri daripada kesepakatan untuk alasan yang cukup sederhana iaitu kerana kegagalan jaminan keselamatan diberikan untuk rakyat Amerika Syarikat daripada risiko yang dicipta oleh para pemimpin Iran.

"Sekarang tidak akan ada lagi, tidak akan ada lagi penciptaan kekayaan untuk kleptokrat Iran, tidak ada lagi penerimaan peluru berpandu mendarat di Riyadh dan Dataran Tinggi Golan, tidak akan ada lagi kos pengembangan bebas kuasa Iran dan JCPOA telah meletakkan dunia dalam risiko yang tinggi," jelasnya.

Tambahnya perjanjian itu jelas menunjukkan kelemahan hingga mengakibatkan kemusnahan di beberapa negara Arab.

"Sengatan sekatan itu nanti akan menyakitkan jika rejim itu tidak mengubah perjalanannya yang tidak dapat diterima dan tidak produktif yang telah dipilih oleh gabungan beberapa negara sebelum ini.

"Ini akan menjadi sekatan terhebat dalam sejarah apabila kita selesai nanti. Rejim Iran telah berjuang di seluruh Timur Tengah selama bertahun-tahun," jelasnya.

Jelas Pompeo lagi apabila tindakan itu diambil maka Iran hanya akan ada dua pilihan, iaitu mematuhi tuntutan baharu oleh Washington atau berdepan kesemua kesusahan tersebut jika masih berdegil.

Sumber: Awani